Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyeru seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menzahirkan semangat “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” agar ia bukan sekadar ungkapan retorik semata-mata.

Menerusi perutusan sempena tahun baharu 2020, beliau berkata ungkapan itu perlu menjadi salah satu usaha untuk pegawai dan anggota menyelami kehendak dan harapan masyarakat terhadap PDRM.

"Sesungguhnya pengalaman yang dilalui sepanjang tahun 2019, akan mematangkan lagi PDRM untuk terus memacu tahun 2020 ke arah yang lebih cemerlang dan kekal utuh dalam mendepani apa jua bentuk cabaran yang bakal mendatang," katanya.

Beliau juga mahu warga PDRM memasang tekad dan niat yang ikhlas untuk menjalankan tanggungjawab dalam menegakkan yang makruf (kebaikan) dan menyekat yang mungkar (keburukan).

"Apa yang jelas, di bahu kita terpikul amanah yang amat besar dalam memastikan keharmonian masyarakat dan kedaulatan negara kekal terjamin," katanya.

Abdul Hamid berkata semoga kedatangan 2020 ini membawa semangat dan azam baharu untuk anggota PDRM mempertingkatkan lagi kecemerlangan jati diri dan juga pasukan, demi kepentingan masyarakat dan juga negara.

"Sama-samalah kita berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara aman dan sejahtera. Selamat Menyambut Tahun Baharu 2020," katanya.

- Bernama