Polis tidak sepatutnya memohon perintah mahkamah untuk menghalang Kongres Organisasi Cina bagi membincangkan tulisan jawi yang dianjurkan Dong Zong , kata Badan Peguam Malaysia.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata polis telah menangani situasi yang sama pada masa lalu tanpa menggunakan perintah mahkamah.

Menurutnya, langkah sedemikian bererti mengehadkan hak kepada kebebasan bersuara yang dijamin perlembagaan.

"Ia tidak munasabah dan bertentangan dengan perlembagaan yang menyatakan bahawa asas kebebasan untuk berekspresi tidak boleh dinafikan atas dasar sedemikian.

"Oleh itu, langkah pihak polis itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan menimbulkan persoalan tentang prosedur operasi standard dalam permohonan (mahkamah) sedemikian kerana kami memahami bahawa terdapat beberapa contoh di masa lalu di mana perintah (mahkamah) seperti itu tidak digunakan.

"Badan Peguam Malaysia berpendapat bahawa pihak polis tidak sepatutnya memohon perintah mahkamah tetapi menguruskan situasi itu seperti yang telah dilakukan pada masa lalu," katanya.

Kongres yang menjadi pertikaian itu pada mulanya dijadual diadakan di Kajan 28 Disember lalu, dengan penyertaan 1,118 sekolah dan NGO.

Kongres itu juga menyebabkan beberapa pihak tampil mengancam mengadakan himpunan balas.

Sehari sebelum kongres, pihak polis memperoleh perintah mahkamah untuk menghentikan kongres Dong Zong atas sebab keselamatan.

Sementara itu, Abdul Fareed berkata rakyat Malaysia perlu diberi ruang untuk menyuarakan keluhan mereka.

"Ketika kita bergerak ke arah membuka ruang demokrasi dalam dekad baru ini, adalah penting bahawa kebebasan asas dijaga.

"Harus ada ruang untuk setiap warganegara Malaysia mempunyai wacana yang sah dan menyampaikan rungutan dalam Malaysia yang teguh berkhidmat untuk rakyatnya," katanya.

Selain Badan Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga menyuarakan kebimbangan mengenai langkah polis mendapatkan perintah mahkamah.

Suhakam berkata kongres dan himpunan balas kongres perlu dibenarkan untuk diadakan, sementara pihak berkuasa perlu memastikan kedua-duanya berjalan dengan aman.

[Baca berita asal]