Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis P. Pinang tahan 339 penunggang motosikal dalam Op Samseng Jalanan

Polis menahan 339 penunggang dan 146 pembonceng motosikal termasuk remaja bawah umur ditahan dalam operasi Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A Anbalagan berkata semua mereka berusia 14 hingga 30-an itu ditahan untuk dokumentasi serta siasatan lanjut dalam operasi yang bermula 3 pagi dan tamat dua jam setengah kemudian.

"Dalam operasi itu, polis turut menahan 10 penunggang motosikal dan pembonceng perempuan malah ada di antara mereka bawah umur serta masih bersekolah. Kami turut memanggil ibu bapa kepada remaja bawah umur untuk hadir di Balai Polis Bayan Baru bagi untuk menjamin anak-anak mereka," katanya.

Katanya sebanyak 348 buah motosikal pelbagai jenis milik semua penunggang itu di bawa balik ke Balai Polis Bayan Baru untuk dokumentasi dan polis turut merampas sembilan buah motosikal ditinggalkan penunggang yang melarikan diri kerana mungkin tidak mempunyai lesen atau melakukan kesalahan lain.

Beliau berkata dalam operasi itu pihaknya turut mengeluarkan 400 saman terhadap penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, memandu secara berbahaya dan mengubah suai motosikal.

-Bernama

Lihat Komen
ADS