Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Dunia berputar dengan cepat, dan pada setiap kitaran, peristiwa dan insiden membentuk berbagai isu berlatarbelakangkan konflik dan pencapaian. Khususnya dalam dunia Islam.

Harapan kesatuan ummah tidak akan tercapai dengan mudah melainkan ia semakin dihimpit dengan geopolitik serantau dan masalah dalaman negara Islam sendiri.

Bagi yang mengharapkan konflik berdarah di Timur Tengah akan selesai, mereka silap kerana 2020 akan menyaksikan konflik baru antara pemerintah dan rakyat.

Kebangkitan suara yang diharamkan demokrasi sebelum ini, sekarang semakin lantang menuntut pihak elitis pemerintah agar lebih bertanggungjawab.

Iraq - yang melalui fasa memerangi musuh militan dan percubaan demokrasi baru - kini berhadapan dengan realiti pemerintahan yang dituntut memberikan kehidupan selesa kepada rakyat.

Rakyat sudah berjaya menumpaskan musuh bersama negara, kini tiba giliran pemerintah pula memenuhi tugasannya kepada rakyat.

Oranga ramai muak dengan ahli politik yang lebih leka mencatur puak masing-masing daripada berkhidmat untuk meyampaikan keperluan rakyat. Lebih penting, rakyat mahukan nasib Iraq ditentukan oleh rakyat, bukannya kuasa luar yang ada kepentingan geopolitik seperti Iran.

Lubnan pula menyaksikan kebangkitan rakyat menuntut agar tiada dominasi elemen luar dalam menentukan politik domestik mereka. Kehadiran Hizbullah - yang mewakili kekuatan politik luar dengan campur tangan Iran - mencaturkan kehidupan bernegara ditolak oleh rakyat.

Ikhwan terus dimusuhi

Kepelbagaian puak yang dibahagi mengikut ketetapan kini dicabar kepada kerangka baru yang meletakkan golongan profesional teknokrat memimpin negara.

Mesir pula akan terus mengulangi gaya kepimpinan kuku besi versi, atau lebih tepat, Hosni Mubarak 2.0.

Kejayaan Abdul Fatah as-Sisi membatalkan kemenangan secara demokrasi Mohamed Morsi akan dipertahankan atas alasan bagi memastikan kestabilan politik Mesir dan kepentingan ekonominya.

Sesuatu yang menarik di Timur Tengah ialah, hampir kesemua rejim akan tertumpu untuk memberikan tekanan kepada jemaah Ikhwanul Muslimin (Ikhwan) sebagai musuh bersama mereka.

Usaha memerangi unsur militan yang membawa kepada keganasan akan dijadikan alasan dan dikaitkan dengan kelompok Ikhwan.

Mohamed Morsi

Salah satu garis pemisah yang membentuk hubungan tegang antara Arab Saudi dan Qatar adalah kerana Doha dituduh memelihara dan melindungi Ikhwan melalui Kesatuan Ulama Sedunia yang berpusat di situ.

Ikhwan akan menjadi kambing hitam dengan peranan antagonis yang akan dipropagandakan sebagai penggugat kestabilan pemerintahan TimurTengah.

Blok dunia Islam yang sinonim dengan pelantar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai titik kesatuannya tergugat dengan kebangkitan Qatar, Iran, Turki dan Malaysia yang menuntut badan berkenaan berfungsi lebih efektif di bawah kepimpinan Riyadh.

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) 2019 adalah hasrat yang mahukan dunia Islam bertumpu untuk membina kekuatan ekonomi dan keselamatan ummah serta keterampilan pemerintahan yang lebih demokratik dan telus.

Seruan disuarakan di Kuala Lumpur seolah-olah mencabar sebahagian dunia Arab khususnya negara Teluk yang rekod nilai demokrasinya masih jauh di belakang.

Baiki kekurangan, bukan bersaing

Indonesia dan Pakistan pula tertekan untuk tidak menimbulkan masalah kepada OIC dengan tidak menunjukkan sikapnya seperti negara utama yang menyertai KL Summit baru-baru ini.

Malaysia berusaha secara proaktif menghimpunkan kepentingan dunia Islam atas dasar menangani Islamofobia melalui kekuatan media dan ekonomi.

Arab Saudi akan meneruskan tradisi menjadi negara utama umat Islam dengan dasar yang lebih agresif bagi menempatkan posisinya di mata dunia.

Seperti yang dilakukan kepada Qatar dan Iran, negara lain - yang dilihat 'tidak mesra Riyadh - akan mendapat amaran keras melalui pelbagai cara.

Justeru Malaysia perlu meningkatkan lagi - secara diplomatik - kaedah bagi meyakinkan Arab Saudi bahawa peranan Putrajaya adalah untuk menyempurnakan kekurangan, dan bukan menyaingi Riyadh.

Turki mengalami masalah dalaman tersendiri dari sudut politik dengan penurunan populariti parti pimpinan Recep Tayyip Erdogan. Peranan Ankara dalam konflik Libya, Syria dan usaha melebarkan teknologi ketenteraannya ke paksi KL Summit akan sentiasa diragui oleh musuhnya.

Solidariti ummah di peringkat rakyat umumnya semakin meningkat dengan berlakunya penindasan kumpulan minoriti Muslim di negara bukan Islam. Kesannya melebar kepada negara majoriti Islam dan ia akan memberi kesan kepada hubungan dagang dan diplomatik antara negara.

Rusia boleh ambil kesempatan

China akan terus berdepan dengan isu etnik Uyghur. Sentimen orang Islam diseksa dan diragut kebebasan beragama menjadi ledakan pada gerakan anti-Beijing. Amerika Syarikat akan menggunakan peluang itu untuk menumpang gelombang dengan alasan hak asasi manusia demi memburukkam imej China.

Di peringkat pemerintah, Washington akan memberi tekanan kepada negara Islam yang ada kepentingan perdagangan besar dengan China. Negara itu termasuklah Malaysia.

India di bawah Narendra Damodardas Modi akan ditanggap sebagai kerajaan anti-Islam khususnya kerana dasar diskriminasi mereka ke atas orang Islam dan pembantaian di Kashmir.

Isu Palestin pula tetap mendapat kedudukan teratas dalam semua konflik berkenaan, kemudian diikuti pergolakan Kashmir dan seterusnya perang di Syria.

Negara Islam akan terus bersuara kepada penindasan ini namun dominasi AS dan sekutunya di pentas dunia akan menyaksikan Rusia mengambil kesempatan membentuk sekutu mereka dengan pemimpin negara Islam.

Arab akan kekal dengan dasar pro-AS, manakala negara Islam lain akan melihat peluang meneroka hubungan lebih erat dengan Moscow walaupun perang di Syria menjejaskan imej Rusia kerana mempertahankan regim Bashar al-Assad.

Pemisahan sekte (mazhab) akan melembabkan dialog antara keduanya kerana perang geopolitik menguasai hubungan Sunni-Syiah dengan Iran dan Saudi memimpin konflik ini.

Negara Islam tercabar daripada pergolakan dalaman dan 2020 akan menyaksikan gelombang tuntutan rakyat kepada kerajaan yang lebih telus dan bertanggugjawab kepada keselesaan hidup rakyat.

Kepemimpinan yang mampu menangani kecelaruan ini akan berjaya memimpin manakala di peringkat antarabangsa, pilihan diplomasi dan rundingan menjadi jalan pemimpin Islam menangani krisis ummah serta konflik serantau dengan negara bukan Islam.

Tahun 2020 akan mengukir lebih cabaran tetapi pada masa sama akan meningkatkan kemunculan kepemimpinan Islam yang lebih terbuka, progresif dan dihormati kawan dan lawan.

Jalan kebencian antara kaum, ketaasuban puak dan mazhab tidak akan mendapat tempat walaupun suara-suara ini cuba mendominasi ummah untuk kepentingan undi sentimen.


DR MUJAHID YUSOF ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri, ahli parlimen Parit Buntar dan Naib Presiden Amanah. Artikel ini ditulis ketika beliau berada di Mekah untuk mengerjakan umrah baru-baru ini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendiran rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS