Terjemahan Malaysia tidak akan sesekali membenarkan industri bekalan air dikuasai oleh syarikat asing, kata Menteri Komunikasi, Air dan Tenaga, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, kerajaan tidak akan berganjak daripada pendiriannya itu kerana air merupakan keperluan asas dan tidak sepatutnya dibuka kepada pasaran antarabangsa.

Dua rang undang-undang mengenai industri air akan dibincangkan di Dewan Rakyat minggu depan bagi menyediakan rangka kawalan baru, dengan kerajaan negeri dan pusat bertanggungjawab bersama terhadap sektor tersebut.

Kenaikan harga

Lim dilaporkan menegaskan demikian ketika mengulas kebimbangan badan-badan dan pertubuhan masyarakat jika perkhidmatan bekalan air dibuat atas asas komersil, maka syarikat asing boleh memasuki sektor tersebut dan mengakibatkan kenaikan harga.

Akhbar the Star pula memetik Lim sebagai berkata, rasional dalam memperkenalkan rang undang-undang tersebut adalah untuk memastikan kualiti dan bekalan air yang berterusan.

Katanya, ini berikutan banyak aduan daripada orang ramai mengenai bekalan air yang kotor dan tercemar.

"Kita mahu menjamin industri ini dikawalselia dan pengguna menikmati perkhidmatan yang lebih baik," katanya.

Lim berkata, kerajaan negeri berhutang sebanyak RM7.6 bilion kepada kerajaan pusat bagi projek infrastruktur bekalan air. Berita asal

- AFP