Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid sanggah laporan berita Muafakat Nasional di Sabah
Diterbitkan:  Jan 2, 2020 9:32 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyanggah laporan berita yang memetiknya berkata Muafakat Nasional "kurang sesuai" atau "tidak sesuai" di Sabah dalam ceramahnya malam semalam.

“Gagasan Muafakat Nasional harus dipersesuaikan dengan situasi politik di Sabah kerana latar belakangnya berbeza, itu kenyataan saya, noktah!” katanya seperti dipetik oleh Umno Online.

Tambahnya, mana-mana pihak yang membuat liputan terhadap ucapannya tidak sepatutnya mempunyai agenda untuk mengubah apa yang sebenarnya beliau maksudkan.

“Oleh yang demikian, saya berharap mereka memperbetulkan laporan yang kononnya saya mengatakan Muafakat Nasional tidak sesuai di Sabah. Jadi tolong betulkan kalau mereka ikhlas dan jujur,” katanya lagi.

Umno Online merujuk laporan Malaysiakini yang memetik Zahid sebagai berkata Muafakat Nasional kurang sesuai dengan keadaan politik di Sabah.

Laporan Malaysiakini yang diterbitkan pagi ini pada asalnya memetik Zahid sebagai berkata kerjasama PAS-Umno sebagai “tidak sesuai” di Sabah. 

Berita itu dibetulkan kemudiannya kepada “mungkin kurang sesuai” untuk menggambarkan petikan kata-katanya yang sebenar.

Zahid membuat kenyataan tersebut dalam satu ceramah di Kampung Pimping malam semalam, menjelang pilihan raya kecil Kimanis.

Petikan kenyataan Zahid secara bulat-bulat adalah seperti berikut:

"Inilah Muafakat Nasional, yang mungkin kurang sesuai di Sabah, kerana latar belakang politik berbeda.

"Tetapi kesesuaian ini, inilah Muafakat Sabah bermula di pilihan raya kecil Kimanis."

Kenyataan ini boleh ditonton melalui siaran langsung ceramah tersebut di Facebook Umno Online pada tanda masa 1:23:18. 

 [Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS