Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dokumen tunjuk SB jadi sumber data Cambridge Analytica untuk kempen BN
Diterbitkan:  Jan 3, 2020 3:03 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

KEMASKINI | Pendedahan terbaru oleh bekas pekerja Cambridge Analytica Brittany Kaiser menunjukkan bagaimana maklumat daripada Petronas dan Cawangan Khas (SB) polis menjadi antara sumber data yang disyorkan untuk kempen propaganda politik, bertujuan membantu kemenangan BN dalam PRU ke-14.

Komunikasi emel antara bekas pegawai Cambridge Analytica dan wakil mereka di Malaysia menunjukkan bagaimana firma kontroversi itu memiliki akses kepada beberapa menteri kabinet dan berusaha mendapatkan kontrak untuk membantu BN menang dalam PRU itu.

Bagaimanapun pendedahan media, antaranya oleh The Guardian UK, menunjukkan syarikat itu menggunakan data Facebook untuk memanipulasi sentimen pengundi, yang akhirnya membawa kepada penutupan syarikat itu pada Mei 2018, bulan sama BN buat kali pertama tewas dalam PRU.

Cambridge Analytica dituduh menyasarkan kelemahan psikologi pengguna media sosial untuk mengubah sentimen, dengan menggunakan akaun palsu atau akaun pengguna yang digodam, untuk membawa agenda politik.

Brittany Kaiser

Penyasaran psikologi adalah kaedah yang digunakan Cambridge Analytica di Malaysia melalui kempennya untuk Petronas, menurut pendedahan oleh dokumen yang disebut sebagai Merdeka Papers.

Menurutnya, kempen itu semacam satu percubaan untuk kempen membantu BN menang PRU.

Bagaimana Zahid jadi sasaran

Komunikasi emel kebanyakannya antara pegawai Cambridge Analytica dengan Azrin Zizal, yang diambil firma itu sebagai wakilnya di Malaysia.

Azirn, disifatkan firma itu sebagai seorang yang "bermotivasi dan ada jaringan baik" dan pernah menjadi setiausaha akhbar Mukriz Mahathir, menandatangani emelnya sebagai pengarah SCL Malaysia.

SCL adalah syarikat induk Cambridge Analytica dan pekerjanya di Malaysia diarahkan untuk mengunakan nama itu ketika mewakili syarikat.

Azrin meninggal dunia pada April 2019 akibat kanser.

Pada 2018, kerajaan BN menafikan dakwaan mereka pernah berhubungan dengan Cambridge Analytica atau firmanya yang berkaitan, tetapi dokumen itu menunjukkan sebaliknya.

Menurut Merdeka Papers, Cambridge Analytica telah berusaha mendapat urus niaga dengan BN seawal 2014, bermula dengan "komunikasi strategik" untuk Petronas untuk menguruskan persepsi syarikat itu di Sabah dan Sarawak, dengan kos kira-kira AS$2 juta.

Ia termasuk persepsi masyarakat terhadap projek saluran paip gas dan isu royalti minyak, menurut dokumen itu. Maklumat yang dikumpul daripada projek itu akan digunakan dalam kempen yang disasarkan Cambridge Analytica - membantu BN menang PRU ke-14.

Cambridge Analytica mengambil langkah pertama mendapatkan urus niaga kempen pilihan raya melalui Timbalan Perdana Menteri ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, seperti yang dinyatakan satu emel pada April 2015.

Menjelang September 2016, syarikat itu dengan bantuan Azrin berjaya mendapatkan kehadiran Ahmad Zahid di Concordia Conference di New York, disifatkan sebagai "versi sayap kanan untuk Clinton Global Initiative, peluang untuk membuat urus niaga dan jaringan tahap tinggi".

Walaupun secara permukaan seolah-olah Zahid secara sah diundang untuk berucap di sana, ia sebenarnya untuk sesi jaringan tahap tinggi antaranya dengan eksekutif kanan Cambridge Analytica.

'Jadi British'

Sebulan kemudian, pasukan Cambridge Analytica datang ke Kuala Lumpur. Jadual mereka termasuk pertemuan dengan wakil Umno dan BN dan sebuah sidang di mana mereka berharap untuk membina jaringan dengan wakil syarikat berkaitan kerajaan.

"Boleh jadi British dan guna bahasa Inggeris Queen," menurut nota kepada pasukan itu.

Pertemuan diatur dengan wakil pemuda Umno, ahli strategi BN dan wakil setiausaha agung BN ketika itu, Tengku Adnan Mansor, untuk membentangkan cadangan untuk kempen mendapatkan 40 kerusi parlimen pada PRU ke-14.

Kawasan parlimen itu ialah Arau, Pendang, Jerai, Kulim Bandar Baru, Ketereh, Machang, Bagan Serai, Kuala Kangsar, Telok Intan, Balik Pulau, Cameron Highland, Bentong, Bera, Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Setiawangsa, Titiwangsa, Segamat, Labis, Ledang, Muar, Tebrau, Pasir Gudang, Pulai, Kota Marudu dan Beaufort.

Cadangan itu juga termasuk mendapatkan semula kerusi Parlimen Alor Setar, Bachok, Pasir Putih, Kuala Krai, Kuala Nerus, Bukit Gantang, Temerloh, Gombak, Sepang, Lembah Pantai, Telok Kemang, Batu Pahat dan Sandaka.

Dalam satu emel, Azrin mengesahkan yang pegawai Tengku Adnan ditugaskan untuk hadir makan malam dengan wakil SCL Group pada 10 Oktober 2016 untuk membincangkan perkara itu.

Ketika itu, Cambridge Analytica/SCL turut diperkenalkan di pemukiman calon BN Selangor di Port Dickson.

'Undi Rosak'

Tidak jelas apa yang telah disediakan Cambridge Analytica dan wakilnya untuk PRU ke-14.

Merdeka Papers juga menyebut tentang kempen Undi Rosak di media sosial menjelang PRU yang menyerupai kempen perencatan pengundi (voter suppression) oleh Cambridge Analytica di Trinidad and Tobago dan oleh kempen pilihan raya presiden Donald Trump.

Ketika dihubungi, Hafidz Baharom, salah seorang yang berkempen untuk gerakan Undi Rosak menafikan perkara itu.

"Tak betul sama sekali. Tiada daripada kami yang diambil atau sebahagian daripada Cambridge Analytica/SCL."

Merdeka Papers juga menyebut tentang kempen Better Nation 2013 oleh BN pada PRU ke-13, kebanyakannya berjalan di media sosial, memiliki persamaan degan kerja-kerja Cambridge Analytica.

Kempen itu dikendalikan firma rundingan milik Shahid Shayaa, yang kemudian menjadi wakil SCL di Malaysia sebelum digantikan Azrin.

Shahid pernah bekerja di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang ditubuhkan Najib Razak, di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Merdeka Papers hanya sedikit (tip of the iceberg). Susah untuk mengatakan secara tepat siapa yang campur tangan dalam masyarakat dan demokrasi Malaysia, atau dengan cara bagaimana," menurut bahagian pengenalan emel yang bocor itu.

Malaysiakini telah menghubungi individu yang dinamakan dokumen itu untuk mengulas perkara ini.

Kaiser mendedahkan fail ketika dia menjadi pengarah pembangunan perniagaan di syarikat itu antara 2014 hingga 2018.

Dokumen yang dikeluarkan termasuklah emel, pelan projek, kajian kes dan rundingan, yang belum pernah didedahkan sebelum ini, melibatkan 65 negara.

Sebelum penutupannya, Cambridge Analytica menjadi perhatian dalam kontroversi di Amerika Syarikat dan Britain, selepas ia dilaporkan mengambil data peribadi daripada pengguna Facebook sejak 2014.

Dikenali kerana membantu kempen Donald Trump ketika pilihan raya presiden 2016, Cambridge Analytica berdepan penggeledahan pihak berkuasa di pejabatnya di London, disoal siasat pihak berkuasa Amerika Syarikat dan desakan Facebook agar ia berdepan audit forensik.

Lihat Komen
ADS