Bekalan insulin penfill dijangka pulih sebelum akhir bulan
Kekurangan bekalan insulin penfill bagi pesakit diabetes di hospital kerajaan dan klinik kesihatan seluruh negara dijangka selesai sebelum akhir bulan ini.
Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, dalam kenyataan kepada Malaysiakini, mengesahkan kekurangan bekalan jangka pendek itu akibat masalah dihadapi pengeluar, Biocon Sdn Bhd.
"Terdapat kekurangan bekalan jangka pendek. Biocon menaik taraf kemudahannya. Pembekal berkenaan sedang mendapatkan bekalan alternatif," katanya.
Kenyataan itu juga berkata Kementerian Kesihatan dalam proses pengagihan bekalan alternatif dari Biocon kepada semua hospital kerajaan dan klinik kesihatan.
"Semua negeri menerima bekalan secara berperingkat. Stok (insulin penfill) akan kembali normal sebelum akhir bulan Januari," katanya.
Pengerusi Kesihatan, Budaya dan Warisan negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar semalam memberitahu jabatan kesihatan negeri tidak menerima insulin penfill mengandungi 57,695 kotak bernilai RM1.82 juta sejak 5 Dis lalu.
Akibatnya, beliau berkata jabatan kesihatan negeri telah membuat pembelian insulin dalam bentuk vial bagi menampung kegunaan pesakit yang terjejas.
"Insulin dalam bentuk vial biasanya memerlukan pesakit menggunakan jarum yang digunakan sekali sahaja bagi setiap dos manakala insulin yang disediakan dalam penfill memerlukan pesakit untuk memasang peranti yang disediakan secara percuma, hanya perlu membeli jarum," kata Khuzzan.
Beliau berkata demikian selepas mendapat aduan daripada orang ramai di Segamat, terutamanya dari pesakit diabetes yang diarahkan membeli alat suntikan insulin di farmasi swasta akibat kehabisan bekalan insulin penfill di hospital kerajaan.

