Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Shahrir Abdul Samad mengumumkan peletakan jawatannya secara mendadak di luar Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, bertindak keluar dewan selepas rakan-rakannya dari Barisan Nasional (BN) tidak bersamanya menyokong usul Ketua Pembangkang Lim Kit Siang bagi merujuk seorang ahli Parlimen kepada jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ahli Parlimen berkenaan, yang identitinya tidak didedahkan, didakwa telah meminta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) 'menutup sebelah mata' dalam satu kes yang membabitkan import kayu bergergaji di Melaka.

Laporan tersebut disiarkan hari ini oleh akhbar New Straits Times dan Berita Harian .

Laporan tersebut mendakwa, seorang ahli Parlimen diktakan 'mengganggu' KDRM berhubung kes rampasan kayu bergergaji yang dibawa dari Indonesia di Sungai Linggi, Melaka baru-baru ini.

Menurut laporan itu lagi, tindakan ahli Parlimen yang didakwa cuba mencampuri urusan KDRM itu, telah dilaporkan oleh agensi berkenaan kepada Menteri Kewanganb Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 21 April lalu.

Sementara itu, Bernama memetik Shahrir sebagai berkata, keputusan untuk meletakkan jawatan itu serta-merta dibuat berasaskan prinsipnya bahawa pandangan beliau tidak lagi mendapat sokongan anggota BBC.

'Soal prinsip'

"Ini bukan soal kecewa, ini soal prinsip. Kita kena pimpin secara prinsip. Kalau rakan lain tidak setuju dengan prinsip kepimpinan, saya kena tarik diri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Whip Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Timbalan Perdana Menteri berhubung peletakan jawatannya.

Usul itu dikemukakan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) sebelum sesi soal jawab lisan bermula.

Laporan akhbar itu menyebut seorang ahli Parlimen didakwa meminta Jabatan Kastam "tutup sebelah mata" dalam satu kes melibatkan kayu balak bergergaji di Melaka.

Mengikut laporan itu, jabatan itu telah menyerahkan laporan terperinci dakwaan campur tangan anggota Parlimen itu berhubung rampasan kayu balak itu.

Lim: Bersihkan nama Parlimen

Lim yang membaca petikan daripada laporan akhbar itu berkata memandangkan Parlimen mempunyai sebuah jawatankuasa khas, institusi itu tidak perlu pergantung kepada agensi lain untuk menjalankan siasatan berhubung perkara yang berkaitan anggotanya.

"Kalau tak benar, kita nak bersih nama baik Parlimen kalau benar kita mahu tahu cerita yang sebenar," katanya.

Shahrir (BN-Johor Baharu) yang kemudiannya bangun menyokong usul itu berkata Parlimen perlu mengurus sendiri semua perkara yang berbangkit di bawah institusi itu termasuk yang berkaitan anggotanya.

"Bila saya menyatakan kita harus mengurus hal kita sendiri, saya lihat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ini merupakan satu alat untuk mengurus hal kita. Saya setuju ia dirujuk, supaya jawatankuasa itu akan panggil wakil daripada akhbar itu untuk melaporkan cerita yang sebenar. Panggil saksi terlibat dan kita sendiri buat keputusan dalam perkara ini," katanya.

Bagaimanapun, setelah undian dibuat lebih ramai suara yang tidak menyokong termasuklah Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) dan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) untuk isu itu dikemukakan kepada jawatankuasa berkenaan.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib kemudiannya membuat keputusan berasaskan undian itu bahawa perkara itu tidak akan dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan.