Pemilihan menteri pendidikan yang baru menggantikan Maszlee Malik adalah menjadi prerogatif dan hak budi bicara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Bersatu.

Ketua Penerangan Bersatu Dr Radzi Jidin berkata menurut Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri dari kalangan ahli mana-mana satu majlis parlimen.

"Ini juga bermakna, bukanlah menjadi keperluan untuk perdana menteri berbincang pelantikan seorang menteri dalam mana-mana mesyuarat khusus melainkan beliau sendiri berpandangan sedemikian.

"Dalam konteks pelantikan menteri pendidikan yang baru, yang mana penyandang sebelum ini adalah daripada parti Bersatu, tidak wujud keperluan bagi Pakatan Harapan untuk bermesyuarat bagi memilih seorang pengganti daripada parti Bersatu," katanya.

Radzi berkata semua pihak mesti berhormat prerogatif atau hak budi bicara perdana menteri untuk melantik menteri pendidikan yang baharu.

Maszlee "memulangkan jawatan" menteri pendidikan selepas berbincang dengan Mahathir.

Peletakan jawatan itu menguatkan lagi spekulasi yang mengatakan kemungkinan berlakunya rombakan kabinet.