Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafie pinggirkan Sabah, bukan BN - Ismail Sabri

Kerajaan BN tidak pernah meminggirkan pembangunan di Sabah, sebaliknya negeri itu dipinggirkan oleh ketua menterinya, Mohd Shafie Apdal sewaktu memegang jawatan menteri.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob mendakwa dalam tempoh tujuh tahun menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Shafie tidak membangunkan Sabah.

"Dia (Shafie) kata BN tak jaga rakyat Sabah, masa itu (waktu jadi menteri) duit berbilion di tangan dia, yang tak jaga rakyat Sabah waktu itu Shafie.

"Dia tak jaga rakyat Sabah, dia tak belanja untuk Sabah, dia belanja hanya di Semporna, itu pun orang Semporna pertikai, banyak projek diberi pada kroni.

"Sebenarnya kalau Sabah tak maju di luar bandar, bukan salah BN. Salah Shafie yang ketika itu jadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang kini ketua menteri Sabah," katanya ketika berkempen di Membakut, malam ini.

Jelas Ismail, ketika beliau menerajui kementerian itu pada 2015, kerajaan BN memperuntukkan sebanyak RM1.25 bilion setiap tahun untuk Sabah.

Shafie sebelum ini ketika berkempen di Kimanis mendakwa BN sekian lama mengabaikan negeri itu daripada arus perdana pembangunan negara.

Oleh itu, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis beliau mengajak pengundi menolak calon BN, Mohamad Alamin yang disifatkannya berhati "Umno di Kuala Lumpur".

PRK kali ini menyaksikan kerusi yang sebelum ini diisi oleh Anifah Aman akan direbut oleh Alamin dan calon Warisan, Karim Bujang.

SPR menetapkan 18 Jan ini untuk hari pengundian, manakala pengundian awal empat hari sebelum itu.

Calon BN tolak dakwaan 'berhati Kuala Lumpur'

Dalam pada itu Mohamad yang merupakan calon BN menyifatkan tuduhan pemimpin Warisan bahawa beliau 'berhati Kuala Lumpur' sebagai retorik.

Katanya, apa yang lebih penting sekiranya diberi mandat beliau mahu berkhidmat dan membela nasib rakyat.

"Ini slogan persepsi, slogan ini tidak membawa makna sebenarnya, janganlah kita main slogan-slogan pada waktu ini, yang penting hasil apa yang rakyat dapat.

"Kalau Sabah untuk 'Sabahan' parti lokal Sabah apa yang dia dapat. Kalau boleh bagi lebih baik daripada Umno, OK, tapi realitinya jauh sekali.

"Insya Allah kalau saya menang 18 Jan nanti saya bukan menjadi wakil rakyat berhati Kuala Lumpur, tetapi berhati Malaysia, untuk rakyat Sabah, untuk rakyat Kimanis," katanya.

Oleh itu, katanya propaganda sebegitu oleh pihak lawan tidak perlu dilayan kerana tidak menguntungkan rakyat.

Lihat Komen
ADS