Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perbicaraan yang memasuki hari ke-66 ini menandakan permulaan kepada sekurang-kurangnya lima prosiding jenayah yang akan dihadapi Najib Razak sepanjang 2020.

Empat kes jenayah lain yang bakal dihadapi bekas perdana menteri itu akan diadakan di mahkamah lain, ialah tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana RM2.28 bilion milik 1MDB, RM6.64 bilion dana IPIC International Petroleum International Corp (IPIC), pindaan laporan akhir audit 1MDB, dan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) melibatkan dana RM27 juta.

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, menyambung soal balas ke atas Najib yang kini dibicarakan atas dakwaan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram wang SRC sebanyak RM42 juta.

Najib dibicarakan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Tertuduh diwakili sepasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

LANGSUNG

3.35 petang: Ketegangan dan suara meninggi menghangatkan perbicaraan selama kira-kira 10 minit pada sesi petang hari ini.

Tertumpu kepada kenyataan diberikan Najib kepada SPRM sebelum ini, Sithambaram dilihat mendesak Najib menjawab sama ada beliau benar-benar mengaku kepada penyiasat bahawa beliau mengenali beberapa dokumen berkaitan SRC dan bersetuju bahawa ia ditandatanganinya sendiri.

Bagaimanapun Najib berkali-kali menegaskan semasa soal siasat dijalankan SPRM, beliau hanya ditunjukkan dokumen berkenaan untuk tempoh yang singkat dan membuat kenyataan sedemikian kerana melihat tandatangan itu kelihatan seperti miliknya.

Kenyataan itu tidak memuaskan timbalan pendakwa raya yang kemudian mencadangkan Najib bahawa beliau sebenarnya membaca dokumen terbabit sebelum memberikan kenyataan kepada SPRM.

Bagaimanapun Najib tidak bersetuju dengan cadangan Sithambaram itu.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada kamu, dokumen-dokumen ini ketika ia ditunjukkan kepada kamu, ia bukan secara ringkas (sekejap).

Najib: Tak setuju.

Kedua-dua mereka terus berbalas kenyataan apabila Najib cuba menegaskan beliau tidak dapat mengingati kesemua butiran kerana menurunkan berpuluh-pulih tandatangan setiap hari sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Ketika itu Najib memberitahu mahkamah, beliau membuat pengakuan mengenai dokumen ditunjukkan SPRM berdasarkan tandatangan yang menyerupai tandatangannya pada.

Untuk rekod Najib kini mempertikaikan keaslian beberapa dokumen berkaitan SRC yang memaparkan tandatangan 'beliau'.

Suasana panas juga berlaku untuk seketika apabila Najib menegaskan Sithambaram menggunakan perkataan "purportedly" (kononnya) semasa merujuk kepada tandatangan yang pada dokumen berkenaan.


2.47 petang: Mahkamah menolak permohonan pendakwaan untuk membicarakan Najib yang dikatakan memberi keterangan bercanggah berhubung tandatangannya pada dokumen SRC.

Menurut hakim, percanggahan yang dikatakan pihak pendakwaan itu boleh dimaafkan kerana Najib telah memberi penjelasan mengenainya.

Kata Mohd Nazlan beliau berpendapat percanggahan yang didakwa itu tidak dapat disimpulkan sebagai perbezaan ketara dan ia tidak serius.

Hakim kemudian mengarahkan pihak pendakwaan menyambung proses soal balas ke atas Najib.


2.44 petang: Mahkamah kembali bersidang.


12.32 tengah hari: Mohd Nazlan menerima permohonan prosiding untuk membicarakan (impeachment) Najib kerana memberikan keterangan bercanggah semasa memberi kenyataan kepada mahkamah dan SPRM.

"Selepas melihat kepada hujah-hujah yang diberikan, saya mendapat permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan proses impeachment ke atas tertuduh berhubung dakwaan percanggahan dalam kenyataan tambahan saksi dan kenyataan diberikan kepada SPRM bukan tanpa merit," kata hakim itu.

Menurut beliau mahkamah mahkamah akan ditunjukkan mengenai kenyataan yang didakwa mengandungi percanggahan berkenaan dan bagaimana perkara itu akan berjalan.

Sejurus kemudian Mohd Nazlan menangguhkan perbicaraan untuk rehat tengah hari dan bakal disambung jam 2 petang nanti.


11.52 pagi: Ketua pembelaan Najib berhujah, cubaan pihak pendakwaan mahu mengenakan tindakan ke atas bekas perdana menteri itu dibuat tanpa niat yang baik.

Hal itu kerana, menurut Shafee, pihak pendakwaan membuat permohonan tersebut baru hari ini, iaitu sehari sebelum mahkamah tinggi mendengar permohonan tertuduh mendapatkan pakar tulisan tangan bagi meneliti tandatangan yang dirujuk pada dokumen penting SRC.

Ketua peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

"Ada kekurangan bona fide (niat baik) dalam permohonan menjelang perbicaraan untuk mendengar permohonan (Najib) esok agar pakar melihat pelbagai dokumen berkaitan tandatangan (Najib).

"Saya meberi amaran kepada pihak sana (pendakwaan) bahawa ini pasti menggiatkan lagi permohonan kami esok," katanya.


11.30 pagi: Cubaan pihak pendakwaan untuk mendakwa Najib kerana dikatakan memberi keterangan bercanggah dakwaan percanggahan material dalam kesaksiannya adalah remeh, kata peguam bela bekas perdana menteri itu.

Menurut Harvinderjit Singh, mahkamah tidak wajar membenarkan permohonan pihak pendakwaan kerana Najib sudah memberi penjelasan mengenai hal berkenaan.

"Isu yang dipertikaikan ialah, sama ada wujud percanggahan. Tidak ada apa-apa percanggahan kerana dia (Najib) sudah memberikan penjelasan.

"Dia tidak berkata dia tidak menandatanganinya, dia (cuma) kata dia ragu-ragu terhadap ketulenan (tandatangan pada dokumen terbabit) dan mahu agar seorang (pakar tulisan tangan) menelitinya," kata Harvinderjit.

Salah seorang peguam bela Najib, Harvinderjit Singh.


11.10 pagi: Pihak pendakwaan memberikan hujah mereka bagi menyokong permohonan agar mahkamah meneliti cadangan agar Najib diambil tindakan ekoran kenyataan bercanggahnya semasa memberi keterangan.

Kata Sithambaram, tertuduh terbabit memberikan kenyataan berbeza mengenai hal yang dibangkitkan ketika siasatan SPRM dan semasa memberi keterangan di mahkamah.

Justeru, kata Sithambaram, mahkamah wajar meneliti kenyataan Najib kepada pihak berkuasa (SPRM) dan membandingkannya semasa memberi keterangan di mahkamah.

Semasa disoal balas, kata Sithambaram, Najib sendiri bersetuju wujud percanggahan berkenaan.

"Sehingga kenyataan SPRM dilihat yang arif, rakan saya (peguam bela) itu tidak boleh mendahului permohonan saya kepada mahkamah untuk melihat kenyataan tersebut, terutama (apabila) tertuduh sendiri bersetuju ada percanggahan di antara kenyataannya (di mahkamah hari ini) dengan kenyataan (kepada) SPRM," katanya.

Sithambaram juga berkata, Najib juga tidak menjelaskan mengenai percanggahan tersebut.

"Saya berharap kita mengambil langkah pertama dengan menggariskan bahagian-bahagian dalam pernyataan kepada SPRM untuk yang arif lihat dan membuat keputusan awal," katanya.


10.54 pagi: Prosiding disambung semula selepas berhenti rehat seketika.


10.03 pagi: Shafee dan Sithambaram terus berbalas hujah sama ada mahkamah patut mendengar permohonan pihak pendakwaan agar Najib - yang kini memberi keterangan membela diri - diambil tindakan.

Ketika Sithambaram berkata pihak pembelaan tidak ada hak untuk menghalang mahkamah meneliti keterangan diberikan Najib dan membuat keputusan mengenainya, Shafee pula berpendapat, langkah tersebut adalah cubaan pendakwaan untuk memanggil saksi pakar bagi meneliti kesahihan tandatangan pada beberapa dokumen didakwa diturunkan oleh Najib.

Mohd Nazlan kemudian membenarkan perbicaraan ditangguhkan selama 30 minit bagi memberi peluang kepada pihak pembelaan menyediakan hujah mereka untuk mencabar permohonan pendakwaan.


9.55 pagi: Permohonan dibuat Sithambaram mencetuskan suasana tegang di antara timbalan pendakwa raya itu dengan ketua pembelaan Najib.

Mendengar permohonan Sithambaram itu, Shafee meminta perbicaraan ditangguhkan selama satu jam untuk membolehkan pihak pembelaan menyediakan hujah mengapa tindakan ke atas Najib pada waktu ini dianggap bercanggah dengan undang-undang.

Kedua-dua peguam terbabit kemudian saling berbalas hujah. Antara lain, Shafee berkata Najib sudah memberikan penjelasan mengapa beliau kini ragu-ragu mengenai kesahihan tandatangam pada dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah sebelum ini.

Sithambaram bagaimanapun membalas, pihak pendakwaan hanya meminta mahkamah melihat keterangan Najib dan memutuskan sama ada mahu mengambil tindakan ke atas Najib atau sebaliknya.


9.47 pagi: Sithambaram memohon agar Najib dikenakan tindakan kerana didakwa memberi keterangan bercanggah dalam keterangannya.

"Buat masa ini, saya ingin memohon untuk mencabar kredibiliti saksi ini (Najib) mengikut Seksyen 145 (1) dan Seksyen 155 (c) Akta Keterangan," kata Sithamabram.

Isu itu timbul selepas Najib mengakui - semasa disoal balas timbalan pendakwa raya itu - bahawa berlaku perbezaan dalam kenyataan saksi yang diberikan hari ini dengan apa yang diberikan semasa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib merujuk kepada apa yang diberitahunya kepada SPRM dan kenyataan saksi di mahkamah mengenai beberapa dokumen penting yang dilihat - dan ditandatanganinya - berhubung kes SRC sekarang.

Timbalan Pendakwa Raya, Sithambaram (kiri).

Antara dokumen itu ialah minit mesyuarat SRC yang dikaitkan dengan pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2012.

Sebelum ini Najib mengaku beliau memaklumkan kepada SPRM bahawa tandatangan yang ditunjukkan kelihatan seperti miliknya.

Bagaimanapun ahli parlimen Pekan itu kemudian menjelaskan bahawa kenyataan saksi semasa menyatakan beliau tidak ditunjukkan dengan dokumen asal semasa keterangannya kepada SPRM dirakamkan, dan kini meragui keaslian tandatangan pada dokumen tersebut.


9.22 pagi: Tertuduh memasuki kandang saksi untuk disoal balas Sithambaram. Turut kelihatan berada dalam mahkamah ialah Shafee.

Najib yang juga bekas presiden Umno itu mula menjawab soalan Sithambaram selepas selesai mengangkat sumpah.


Lihat Komen
ADS