Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersih patut demo isu janji pembangunan - Ismail

PRK KIMANIS | Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) digesa supaya turun berdemonstrasi di jalan raya sebagai bantahan terhadap salah guna kuasa dan sumber oleh kerajaan hari ini.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, berkata jika perkara itu pernah dilakukan terhadap kerajaan BN ketika berkuasa dulu, maka Bersih 2.0 perlu turun lagi ke jalan raya untuk membantah pentadbiran PH hari ini.

"Terima kasih kepada Bersih 2.0 kerana membuat teguran kepada kerajaan yang melanggar akta pilihan raya di Kimanis ini tetapi tidak cukup dengan teguran.

"Kalau waktu BN dulu mereka berarak di jalan raya dengan baju kuning dan sebagainya, saya menunggu-nunggulah untuk Bersih berarak semula di jalan raya dengan baju kuning mereka kerana beberapa pilihan raya lepas sudah jelas bahawa pihak kerajaan melanggar akta pilihan raya.

"Saya cabar Bersih 2.0 untuk ke jalanan dengan baju kuning mereka. Kalau dulu Bersih 5, sekarang buat Bersih 6, kita akan sokong," katanya yang juga ketua pembangkang di Kimanis, hari ini.

Terdahulu Ismail mengadakan pertemuan dengan nelayan di sekitar Binsulok dan meluangkan masa bertemu penduduk kampung bagi berkempen.

Pada pertemuan itu Ismail turun mendengar luahan nelayan termasuk permasalahan yang dihadapi mereka.

Bersih 2.0 dalam satu kenyataan hari ini membangkitkan kebimbangan mengenai kenyataan yang dibuat oleh calon Parti Warisan Karim Bujang yang dilaporkan menyeru pengundi supaya menyokong parti itu bagi membolehkan pembangunan dilaksanakan di Kimanis.

"Bersih 2.0 berpandangan bahawa parti-parti kerajaan sewajarnya bersaing polisi, prestasi serta pencapaian janji manifesto, daripada mengancam rakyat untuk menyekat pembangunan dilaksanakan di kawasan tersebut jika jatuh ke tangan pembangkang.

"Sudah tentu hal ini suatu tradisi yang sudah lapuk... Warisan-PH patut memimpin anjakan paradigma untuk menjadikan slogan Sabah Ubah dan Malaysia Baru bermakna daripada meneruskan tradisi kerajaan BN yang sudah ketinggalan zaman itu," kata jawatankuasa pemandu Bersih.

Bersih juga memetik beberapa contoh, misalnya Menteri Pertanian Salahuddin Ayub yang telah menyerahkan cek sebanyak RM140,000 kepada nelayan di Bongawan untuk membaikpulih jeti mereka serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong yang menghulurkan bantuan kepada pesawah yang terkena musibah banjir.

"Ini adalah penyalahgunaan sumber-sumber kerajaan untuk menarik pengundi dengan mengumumkan dan meluluskan projek-projek semasa pilihan raya. Prinsip pilihan raya yang bebas dan adil perlu menyediakan lapangan pertandingan yang adil kepada semua calon.

"Walaupun pengumuman projek itu tidak bertentangan dengan undang-undang, ia jelas tidak beretika dan kempen politik yang kotor.

"Pada masa lalu, pembangkang marah kepada Umno dan BN kerana menyalahgunakan kuasa, sekarang apabila mereka berkuasa, mereka melakukan perkara yang sama," kata Bersih lagi.

Dalam pada itu Ismail berkata, Umno telah membuat laporan polis terhadap beberapa pelanggaran akta pilihan raya oleh parti Warisan ketika kempen PRK Kimanis.

"Saya berharap Bersih 2.0 juga buat laporan polis, kenapa dulu mereka mahukan pilihan raya bersih sehingga mereka sanggup berarak di jalan raya.

"Sekarang saya cabar Bersih 2.0 supaya berarak di jalan raya dengan baju kuning mereka," katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS