Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
The Edge tanya soalan sukar selepas wawancara Jho Low
Diterbitkan:  Jan 6, 2020 5:12 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Akhbar perniagaan, The Edge menggesa Jho Low menjelaskan siapakah bertanggungjawab dalam skandal 1MDB, berikutan wawancara yang disiarkan hari ini.

Akhbar berkenaan yang telah memainkan peranan penting dalam mendedahkan skandal itu dalam tahun-tahun kebelakangan ini, berkata, jika Jho Low mendakwa hanya sebagai orang tengah dalam urusan itu, dia mesti mendedahkan ketuanya.

"Najib Razak mengatakan (di mahkamah) yang anda adalah dalang. Anda dakwa anda hanya perantara. Adakah anda tuduh Najib berbohong?" soal The Edge.

Dalam temu bual e-mel dengan Straits Times Singapura yang diterbitkan hari ini, Jho Low menangkis andaian bahawa dia adalah "dalang" urusan 1MDB.

Sebaliknya, dia mengatakan peranannya adalah semata-mata sebagai "introducer dan perantara" - untuk membina 'jambatan' antara kerajaan Malaysia dan Timur Tengah.

Jho Low juga meminta perhatian sepatutnya dialihkan kepada pengurusan 1MDB, lembaga pengarahnya, pemegang saham dan orang-orang yang mengaturkan dana bagi syarikat itu.

Sementara itu, The Edge juga meminta Jho Low menjelaskan mengapa beliau tidak mencabar Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang menyita aset sebanyak AS $ 1 bilion yang berkaitan 1MDB.

Akhbar itu berkata The Edge boleh mencabar penyitaan itu di mahkamah Amerika Syarikat.

"Kami tidak bercakap tentang AS$ 10 juta atau AS$ 100 juta. Ini adalah AS $1.0 bilion! Siapa yang waras akan melepaskannya jika dia tidak bersalah?" soal The Edge.

The Edge juga menggesa Jho Low menjelaskan bagaimana dia berjaya mengumpulkan $1 bilion nilai aset yang kini telah dipulangkan jika ia tidak ada kaitan dengan 1MDB.

"Jika ia dari wang datuk anda, sebagaimana yang anda katakan sebelum ini, kami merujuk kembali anda kepada soalan pertama kami.

"Mengapa kamu begitu mudah melepaskan apa yang datuk kamu bina untuk menyelesaikannya dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat jika anda tidak bersalah?" soal The Edge.

The Edge adalah akhbar perniagaan yang menghasilkan senarai panjang laporan eksklusif 1MDB, di mana Jho Low merupakan watak utamanya.

Pada tahun 2015, ketika kemuncak siasatan global ke atas urusan 1MDB, pentadbiran perdana menteri ketika itu Najib Razak menggantung lesen penerbitan The Edge. Najib juga memecat peguam negara dan timbalannya. 

Lihat Komen
ADS