Laporan lawatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke kem tahanan Kamunting akan dibawa ke mesyuarat suruhanjayanya pertengahan September ini untuk diluluskan sebelum ia dirujuk kepada pihak terbabit dan disiarkan kepada umum, kata pesuruhjayanya Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan.

"Laporan itu sudah siap tetapi ia perlu mendapat kebenaran daripada mesyuarat suruhanjaya pada 15 September ini terlebih dahulu sebelum ia diumumkan," kata beliau di pejabat Suhakam petang tadi.

Pada 3 Julai lalu, pesuruhjaya badan hak asasi itu telah mengadakan lawatan ke kem Kamunting bagi memantau keadaan tahanan di situ.

Terdahulu, beliau dan pesuruhjaya Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun menerima memorandum 'Keadaan Tahanan Politik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem Kamunting' daripada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Memorandum itu memohon badan hak asasi itu menyiasat keadaan enam tahanan ISA iaitu naib presiden Keadilan, Tian Chua, ketua pemuda parti, Mohamad Ezam Mohd Nor, ahli jawatankuasa pusat parti, Saari Sungib, kolumnis malaysiakini Hishamuddin Rais, aktivis reformasi Lokman Noor Adam dan Dr Badrul Amin Bahron.

Memorandum itu telah disampaikan oleh pengerusi jawatankuasa kerja GMI, Zaid Kamaruddin.

Hadir bersama beliau ialah isteri Saari Sungib, Aliza Jaffar, dan isteri Dr Badrulamin, Zumrah Husni, sebagai wakil isteri-isteri dan keluarga tahanan dengan diiringi beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai GMI.

Terima layanan buruk

"Pihak keluarga memaklumkan kami, mereka (tahanan) nampak pucat dan berat badan mereka begitu susut," memorandum yang dibaca oleh Zaid kepada Suhakam, dipetik.

GMI melalui memorandum itu juga mendakwa bimbang dengan layanan buruk yang diberi kepada enam tahanan itu.

"Pihak berkuasa terus mengasingkan mereka walaupun setelah tiga bulan ditahan. Enam tahanan itu ditahan dalam tiga blok iaitu dua tahanan bagi setiap satu blok yang boleh memuatkan 20 orang. Dalam masa yang sama 71 tahanan lain ditempatkan di dalam tiga blok lain," memorandum itu dipetik.

Menurut Zaid, ketua komandan kem, Tuan Mohd Zawawi Abdul Rahim, pernah mengesahkan perkara itu dilakukan atas arahan pihak atasan iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Dengan pengakuan tersebut, tahanan telah mengutuskan surat kepada Menteri Dalam Negeri melalui Pegawai Yang Menjaga (PYM) meminta penjelasan. Surat bertarikh 16 September 2001 itu masih belum berjawab," katanya.

Menurut Zaid lagi, Mohd Ezam kini mengalami kadar asid urik yang tinggi, Tian Chua mengidap asthma yang teruk, Lokman mengalami tekanan darah tinggi sementara Saari dan Hishamuddin mengalami migrain yang teruk dan belum berjumpa doktor kerana makanan yang diberi pihak kem tidak berzat.

"Tahanan beragama Islam tidak dibenarkan menunaikan sembahyang Jumaat. Tian Chua tidak dibenarkan menyertai upacara agama Buddha atau Kristian yang diadakan," katanya.

Surat ditapis

Tahanan itu juga didakwa hanya dihadkan kepada keluarga yang disenaraikan KDN, berjumpa dalam keadaan dipisah jaring dan "sentiasa diawasi dengan kehadiran seorang atau lebih pegawai penjara".

Suhakam turut diberitahu surat daripada atau kepada keluarga akan ditapis, "pernah dipadam ayatnya" dan "pernah surat daripada tahanan kepada peguam Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (HAKAM) dirampas".

Selain itu menurut Zaid, GMI turut bimbang hak guaman tahanan terbatas kerana "pernah berlaku satu kejadian dokumen afidavit Saari Sungib dirampas daripada peguam dan disimpan oleh pihak kem selama lapan hari".

Sejak pertengahan bulan lalu, enam tahanan itu tidak menjamah makan yang disediakan oleh pihak kem dan hanya menerima makanan yang dibawa keluarga atau yang dibeli di kantin sebagai tindakan protes.

Mengulas mengenai memorandum itu, Hamdan berkata, "Kebanyakan apa yang dibangkitkan dalam memorandum itu hampir menyamai hasil laporan lawatan Suhakam ke kem itu sebelum ini."

"Dengan adanya permintaan (menyiasat keadaan tahanan) kita (Suhakam) mungkin memikirkan untuk mengadakan lawatan kali kedua ke kem itu," katanya.