Enam anggota jawatankuasa kerja pusat parti pembangkang Parti Demokrat Singapura (SDP), termasuk pengerusinya Ling How Doong, memohon maaf kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Mentor Lee Kuan Yew berhubung artikel diterbitkan dalam surat berita parti itu, New Democrat.

Mereka menyiarkan notis maaf setengah halaman dalam harian berbahasa Inggeris The Straits Times dan harian berbahasa Cina Lianhe Zaobao hari ini mengakui bahawa dakwaan dalam satu dari artikel dalam surat berita itu adalah palsu dan tidak benar.

Langkah terbaru oleh enam anggota pucuk pimpinan pusat SDP itu menjadikan bilangan pemimpin parti itu yang memohon maaf kepada 10 orang dari asal 12 yang disebut dalam saman fitnah terhadap pucuk pimpinan parti itu.

Hanya setiausaha agung Dr Chee Soon Juan dan saudara perempuannya Chee Siok Chin masih bertahan, enggan meminta maaf atau bagi mereka memberi jawapan berhubung artikel yang dikatakan memfitnah tentang Yayasan Ginjal Kebangsaan (NKF) dalam New Democrat.

NKF ialah badan amal terbesar Singapura yang dilanda skandal tahun lepas.