Datuk Shahrir Abdul Samad tidak boleh menganggap tindakan ahli Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) tidak menyokong pendiriannya berhubung satu usul yang dikemukakan di Dewan Rakyat hari ini, sebagai satu tamparan terhadap kepimpinannya sehingga menyebabkan beliau meletakkan jawatan.

Sehubunga itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta beliau menarik balik keputusannya meletak jawatan sebagai pengerusi BBC.

"Saya nak bagitau Datuk Shahrir supaya tarik balik (peletakan jawatan). Saya faham beliau seorang yang berprinsip dan beliau telah nyatakan pendiriannya. Beliau harus ingat sebagai ahli Parlimen keputusan majoriti yang diambil kira," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Shahrir(BN-Johor Baharu) meletak jawatan apabila pendirian beliau menyokong usul Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) untuk membawa satu laporan New Straits Times kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, tidak mendapat sokongan sebilangan besar ahli BBC.

Menurut laporan Bernama, laporan akhbar tersebut adalah mengenai seorang ahli Parlimen yang didakwa meminta Jabatan Kastam "tutup sebelah mata" dalam satu kes melibatkan kayu balak yang digergaji.

Laporan terlalu umum

Nazri yang juga tidak menyokong usul itu berkata perkara itu terlalu umum untuk disiasat oleh jawatankuasa berkenaan.

"Kalau sekiranya Ketua Pengarah Kastam menulis surat kepada speaker untuk membuat aduan tentang ahli Parlimen berkenaan dan ahli Parlimen itu dinamakan, baru kita siasat.

"Tapi ini merujuk kepada laporan akhbar yang umum," katanya yang hanya mengetahui mengenai peletakan itu, apabila Shahrir mengumumkan perkara itu kepada pihak media.

Katanya, siasatan kes itu perlu dilakukan oleh pihak berkuasa terlibat yang tidak ada kaitan dengan Parlimen kerana jika disiasat jawatankuasa berkenaan, ia mungkin dituduh melindungi ahli Parlimen terbabit jika didapati tidak bersalah.

"Begitu juga jika kesalahan dilakukan ahli Parlimen, kita siasat dan orang akan kata kita akan "cover up" (melindungi) ahli Parlimen kita. Walaupun dia memang tidak bersalah," katanya.

Terdahulu, Shahrir berkata keputusan serta merta untuk meletakkan jawatan itu dibuat berasaskan prinsipnya bahawa pandangan beliau tidak lagi mendapat sokongan ahli BBC. Shahrir memegang jawatan itu sejak 2004.

'Bersihkan nama MP'

Dalam satu sidang akhbar yang lain petang ini, Timbalan Pengerusi BBC, Datuk Raja Ahmad Zainuddin berkata, kelab tersebut telah mengadakan mesyuarat tergempar dan sebulat suara bersetuju meminta Shahrir menimbang semula keputusannya itu.

Manakala Lim pula berkata, beliau amat marah dengan isu tersebut dan tidak terperanjat dengan peletakan jawatan Shahrir, kerana beliau juga marah.

"Usul tersebut bukan untuk memfitnah sesiapa. Jika ia tidak benar, kita boleh bersihkan nama ahli Parlimen berkenaan, dan menunjukkan yang kita ada integriti.

"Ketidak tidak boleh bersembunyi di sebalik keistimewaan sebagai ahli Parlimen. Sekiranya ia betul, maka kita ambil tindakan," tambahnya.

Beberapa ahli Parlimen kerajaan, ketika ditemui, menyuarakan rasa terkejut dengan keputusan Shahrir meletakkan jawatan sebagai pengerusi BBC.