Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
H1N1 di Kimanis: Bung mahu kementerian kesihatan bertindak

PRK KIMANIS | Umno meminta kerajaan segera bertindak untuk mencegah penularan wabak influenza (H1N1) di Kimanis supaya ia tidak menjejaskan perjalanan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan.

Pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin secara berseloroh berkata Kementerian Kesihatan perlu segera bertindak dan tidak hanya memberi fokus kepada menyaman perokok di kedai makan.

Beliau turut mengesahkan seorang jentera Putera Umno dijangkiti wabak H1N1 dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

"Seorang jentera Puteri Umno disyaki dijangkiti H1N1 di Membakut dan kini sedang dirawat di hospital.

"Saya harap Jabatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan turunlah ke Kimanis, jangan hanya tumpu perokok di kedai kopi saja, ini perkara serius kerana melibatkan kesihatan orang awam," katanya ketika ditemui di Membakut hari ini.

Terdahulu, Penolong Setiausaha Puteri Umno Wilayah Persekutuan, Nurul Hazwani Haslan @ Awin disahkan menghidapi H1N1 selepas dua hari bertugas di Kimanis.

Nurul Hazwani kini berada di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu sejak semalam untuk mendapatkan rawatan.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Beliau mendapat 11,942 undi berbanding 11,786 undi yang diperoleh Karim manakala seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah, mendapat 1,300 undi.

Lihat Komen
ADS