Bekas Ketua Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Arif berkata Dasar Automotif Negara (NAP) adalah kabur dan tidak menjurus ke arah menyelesaikan masalah yang selama ini membantutkan kemajuan industri automotif tempatan.

Sehubungan itu, beliau meragui kemampuan NAP memacu sektor automotif negara.

Paling ketara sekali, katanya, dasar yang diumumkan kerajaan pada awal Mac lalu itu tidak mempunyai elemen-elemen yang mampu menarik pelaburan asing.

"Dasar ini tidak menggariskan insentif-insentif yang menarik dan jelas untuk mendorong pelabur asing melabur dalam sektor automotif di sini.

"Ia juga tidak menjurus kepada usaha untuk meningkatkan pasaran automotif dalam negara dan meningkatkan eksport," ujar beliau dalam satu pertemuan dengan pihak media di ibunegara semalam.

Menurutnya, NAP sepatutnya menekankan kepada pelaburan dalam pembuatan enjin dan pemasangan kenderaan yang komprehensif kerana kedua-dua aspek ini akan melengkapkan industri automotif tempatan, selain membawa masuk pelaburan yang besar.

"Bayangkan untuk membina kemudahan pembuatan enjin memerlukan sekurang-kurangnya RM500 juta manakala pusat ujian serta unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai RM500 juta hingga RM1 bilion.

"Dengan adanya segala kemudahan ini, Malaysia akan menjadi hub automotif, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan teknologi dan pengetahuan dalam industri ini," tegas Tengku Mahalel.

Dasar di China, Thailand

Menurutnya lagi, NAP sepatutnya menyelesaikan masalah pasaran domestik yang kecil ketika ini, kerana tanpa pasaran domestik yang besar, pelabur asing tidak akan melabur dalam sektor ini.

"Kapasiti pasaran domestik kita antara 130,000 hingga 150,000 unit setahun. Kita memerlukan pasaran domestik antara 500,000 hingga 700,000 unit setahun untuk menarik modal asing," ujar beliau.

Tengku Mahalel memberi contoh, sektor automotif China dan Thailand berjaya menarik pelabur asing kerana mereka mempunyai dasar yang jelas dan pasaran yang lebih besar.

Pasaran kereta Thailand kini melebihi 500,000 unit setahun dengan 100,000 hingga 150,000 daripadanya dieksport.

China misalnya berjaya menarik modal asing untuk bersaing dalam pasaran domestiknya yang besar kerana ia mempunyai dasar yang telah dirangka dengan bijak.

"Pihak berkuasa China hanya memberi lesen kepada syarikat dengan syarat mereka menjalankan pembuatan enjin dan pemasangan kenderaan di dalam negara mereka. Jadi pelabur terpaksa membuat pelaburan yang besar dan pada masa yang sama, mewujudkan peluang pekerjaan," katanya.

Oleh kerana itu katanya, pasaran domestik dan eksport yang besar ini sangat penting kerana mana-mana pelabur yang mahu melabur dalam pembuatan enjin dan R&D di sesuatu tempat, akan mengambilkira faktor ini sebelum membuat keputusan mereka.

Beliau berkata, pasaran kereta tempatan telah mencapai tahap tepu dan oleh itu, usaha-usaha untuk mengembangkang perlu dilakukan segera.

Kenakan had umur

Antara langkah yang wajar dipertimbangkan, menurut Tengku Mahalel, ialah mengenakan had umur penggunaan seperti yang dilaksnakan di Jepun dan Singapura.

" Di negara-negara ini, apabila kenderaan itu mencapai usia tertentu, ia perlu ditukar atau kos penyelenggaraannya akan menjadi lebih tinggi daripada membeli sebuah kereta baru. Jadi pengguna akan menjual kereta lama dan ini mewujudkan permintaan terhadap kereta baru,"jelasnya.

Beliau juga mengkritik amalan perbankan negara ini yang memberi pembiayaan pinjaman membeli kenderaan sehingga tujuh hingga sembilan tahun.

"Tempoh pembayaran balik yang panjang ini menyebabkan kereta berkenaan jatuh nilainya apabila hendak dijual semula. Ini menyebabkan ramai pemilik kereta enggan menukar kereta mereka. Keadaan ini tidak baik bagi pasaran kenderaan," tegas beliau.

Oleh itu, Tengku Mahalel berkata, satu dasar dan strategi yang jelas diperlukan bagi mewujudkan industri automotif yang besar, berdaya saing, mempunyai pasaran eksport yang luas serta rangkaian industri yang lengkap.

Bagaimanapun, katanya, beberapa perkara yang digariskan di bawah NAP amat dialu-alukan, termasuklah langkah menghapuskan pengeluaran permit import (AP) untuk kereta pada tahun 2010.

Ulangan dasar lama

"Persoalannya cuma adakah dasar-dasar yang positif ini akan dilaksanakan dengan baik? Masalah yang menghantui kita selama in ialah pelaksanaan...kita ada pelaksana yang teruk,"ujarnya.

Tengku Mahalel juga berkata, dalam menilai NAP ini, seseorang perlu melihat hubungannya dengan dasar-dasar perindustrian yang dulu iaitu Pelan Induk Perindustrian (IMP) yang pertama dan kedua yang dilaksanakan sepanjang 1986 hingga 2005.

Menurut beliau, berdasarkan penilaiannya, banyak perkara dalam NAP adalah ulangan kepada apa yang telah ada dalam kedua-dua IMP itu.

" NAP mengulangi matlamat IMP. Apabila kita mengulangi dasar lama, tidakkah ini menunjukkan IMP telah gagal?

"Sepatutnya sebelum kita merangka dasar baru, satu analisis situasi dijalankan supaya kita tahu apa yang telah dicapai dalam dasar yang dulu. Dari situ kita dapat tetapkan halatuju yang baru," tambahnya.

Beliau juga menegaskan, sepatutnya NAP dirangka oleh mereka yang memahami dan terbabit secara langsung dalam industri ini.