SPRM: Sebahagian klip audio 1MDB sudah diserah pada polis
Sebahagian daripada klip audio berkaitan kes 1MDB yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, telah diserahkan kepada pihak polis.
Menurut Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya, SPRM kini menunggu pihak polis membuka kertas siasatan ke atas isu tersebut.
“Sudah tentu apa yang kami dedahkan perlu disiasat dan kami sudah memaklumkan kepada pihak polis sebab mereka perlu memulakan siasatan.
“Dalam pendedahan itu, ada beberapa elemen kesalahan yang mana pihak SPRM pun boleh siasat dan pihak polis pun boleh siasat, jadi kita akan menyerahkan kepada pihak yang berkuasa (menjalankan siasatan lanjut),” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan tarikh serahan kepada pihak polis dilakukan.
Kenyataan itu hadir setelah beberapa pihak mempertikaikan kenapa SPRM tidak menyerahkannya kklip audio berkenaan kepada pihak polis, sebaliknya mendedahkannya dalam sidang media semalam.
Sembilan klip audio tersebut memberi gambaran bahawa terdapat “konspirasi jenayah” besar untuk mengganggu proses keadilan berhubung penyiasatan 1MDB, antara bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa individu.
Klip audio berkenaan merujuk kepada dua fasa penting dalam penyiasatan 1MDB.
Fasa yang pertama membabitkan pelantikan Dzulkifli Ahmad dan Mohamed Apandi Ali, masing-masing sebagai ketua pesuruhjaya SPRM dan peguam negara.
Fasa kedua ialah selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan saman untuk merampas aset berkaitan 1MDB.
Apabila ditanya tentang klip audio berkenaan, Najib tidak menafikan kesahihannya.
Beliau bagaimanapun mempertikaikan bagaimana pintasan perbualan telefonnya boleh dilakukan ketika dia menjadi ketua kerajaan.
Beliau juga menyatakan akan “menyemak” dan berbincang dengan peguamnya mengenai perkara itu.

