Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Sabah minta ahli munajat doakan kemenangan BN
Diterbitkan:  Jan 9, 2020 5:08 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

PRK KIMANIS | Dewan Ulama PAS Sabah mengarahkan semua ahli parti yang tidak dapat menyertai kempen di PRK Kimanis agar berdoa dan bermunajat untuk kemenangan calon BN Mohamad Alamin.

Ketuanya Babbar Abas turut menggesa kawasan PAS yang tidak menyertai kempen di PRK itu untuk mengadakan program munajar di kawasan masing-masing.

“Selain dari kita semua turun berkempen dengan pelbagai cara untuk menarik pengundi, jangan lupa kuasa lebih besar pastinya datang daripada Allah, Tuhan pencipta kita," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Harakahdaily, semalam.

Babbar juga mencadangkan semua ahli dan petugas Umno yang beragama Islam membuat perkara yang sama.

Katanya lagi, pihaknya juga sedang merancang untuk mengadakan munajat perdana menggabungkan petugas PAS dan Umno nanti.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Mohamad dan calon Warisan Karim Bujang.

Mohamad merupakan adun Bongawan - salah satu adun dalam kawasan Parlimen Kimanis - pada penggal ke-13 sebelum tewas pada PRU lalu. Karim pula menjadi adun di situ selama lima penggal - dari 1990 hingga 2013 - ketika bersama Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan Anifah Aman sebagai terbatal.

Babbar berkata lagi, beliau difahamkan beberapa pemimpin Dewan Ulama PAS Pusat akan turun berkempen di Kimanis atas semangat Muafakat Nasional.

"Saya juga telah mengarahkan agar semua ahli Dewan Ulama PAS Sabah turun membantu dalam PRK ini kerana inilah peluang untuk kita mengangkat seorang bakal ahli Parlimen yang sangat berkebolehan dan mempunyai latar belakang pendidikan yang sangat baik,” katanya lagi.

PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional pada September lalu. PRK Tanjung Piai yang diadakan dua bulan selepas itu menyaksikan calon BN Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar 15,087 undi, mengalahkan calon PH Karmaine Sardini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini juga menyatakan hasrat membawa Muafakat Nasional ke Sabah dan disesuaikan dengan latar politik negeri itu.

Kimanis adalah kerusi separa bandar yang mempunyai 29,644 pengundi berdaftar, dengan 63.16 peratus daripadanya bumiputera Islam, manakala 30.67 peratus bumiputra bukan Islam, 3.59 peratus Cina dan 2.58 peratus lain.

Lihat Komen
ADS