Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden George W. Bush bersetuju untuk mengutamakan penyelesaian secara diplomasi bagi menangani isu nuklear di Iran.

Presiden Bush menghubungi Abdullah dari Rumah Putih di Washington pada jam 8 pagi semalam. Abdullah kini berada di Texas untuk menghadiri Kongres Dunia Teknologi Informasi (WCIT) 2006.

Dalam perbualan mereka, Bush menyambut mesra lawatan kerja tiga hari Abdullah ke Texas.

Abdullah memberitahu Bush yang beliau percaya Iran menggunakan kuasa nuklear untuk keamanan dan Malaysia tidak menghalang tindakan itu.

"Malaysia tidak setuju langsung sekiranya ia (tenaga nuklear) bertujuan untuk membuat bom atau senjata nuklear. Itu pendirian kita (Malaysia) dan pendirian NAM (Pergerakan Negara-negara Berkecuali)," kata Abdullah yang merupakan NAM.

Dalam media untuk wartawan Malaysia, Abdullah berkata, beliau memberitahu presiden Amerika Syarikat itu: "Adalah lebih penting sekiranya rundingan (diadakan) dalam hal ini dan menggunakan penyelesaian diplomatik lebih baik daripada pendekatan lain."

Isu Palestin

Menurut laporan Bernama, kedua-dua pemimpin juga berbincang mengenai isu Palestin dan bahan bakar bio (biofuel) dalam perbualan telefon mereka.

Mengenai Palestin, Abdullah menegaskan kepada Bush betapa "pentingnya untuk kedua-dua pihak (Palestin dan Israel) bertemu dan berbincang, dan satu pendekatan perlu dicari".

"Itu sahaja cara yang dapat dilakukan untuk selesaikan perkara itu. Sebarang tindakan yang memencilkan yang dipilih rakyat tidak boleh membawa penyelesaian kepada masalah yang wujud."

Masalah kenaikan harga petroleum juga dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin itu di mana Abdullah memberitahu tentang subsidi kerajaan yang begitu tinggi hampir 20 juta ringgit untuk mengurangkan beban dan kesusahan yang dialami pengguna di Malaysia.

Bagi menangani masalah itu, Malaysia kini berusaha mencari jalan keluar dengan menggunakan bahan bakar bio iaitu menggunakan minyak kelapa sawit sebagai ramuan utama.

Bagaimanapun, Abdullah memberitahu Bush bahawa beliau bimbang dengan tindakan golongan tertentu di Amerika yang menentang pengeluaran bahan bakar bio itu dan cuba memburuk-burukkan kelapa sawit melalui kempen negatif.

Panggilan telefon

Texas adalah negeri istimewa bagi Bush. Sebelum menjadi Presiden AS, Bush pernah menyandang jawatan gabenor negeri sebelah barat daya ini. Beliau juga memiliki sebuah ladang besar di Crawford, Texas.

Terdahulu, jurucakap Rumah Putih, Scott McClellan memberitahu pemberita dalam taklimat media hariannya mengenai panggilan telefon presiden kepada Abdullah.

McClellan berkata kedua-dua pemimpin membincangkan mengenai Iran dan bersetuju akan pentingnya mencari penyelesaian diplomatik terhadap isu nuklear.

Mereka bersetuju mengenai perlunya regim di Iran mematuhi sepenuhnya tanggungjawab antarabangsanya.

Kedua-dua pemimpin juga membincangkan mengenai kebimbangan mereka mengenai kenaikan harga tenaga dan pentingnya menggalakkan penyumberan tenaga alternatif.

Dan mereka juga membincangkan situasi Israel-Palestin dan mengulangi pentingnya penyelesaian bagi kedua-dua negara, katanya.

Mengenai Israel, kerajaan baru dan kenyataan mengenai sempadan unilateral termasuk Baitulmuqaddis, McClellan berkata, "Kita percaya pelan damai merupakan jalan kepada penyelesaian kedua-dua negara. Tetapi anda perlu mempunyai rakan dalam perdamaian. Dan kita tidak mempunyai rakan perdamaian dalam Hamas.

"Sehingga Hamas membuat pilihan betul untuk mengikut apa yang diusulkan oleh Kuartet, mereka tidak boleh menjadi rakan dalam perdamaian bagi mencapai dua penyelesaian itu. Dan itulah yang kita mahu lihat berlaku di rantau itu," katanya.