PAS memutuskan akan bertanding dalam pilihanraya negeri Sarawak yang akan diadakan pada 20 Mei ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat khas jawatankuasa pusat parti itu di Taman Melewar, Kuala Lumpur semalam.

" PAS akan bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi. Kita telah mengenal pasti calon anak tempatan yang akan mewakili PAS," katanya.

Difahamkan kawasan yang akan ditandingi oleh PAS itu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro di bahagian Betong.

Kamaruddin memberitahu malaysiakini, tindakan PAS ini bukanlah perkara baru kerana parti itu pernah bertanding di tiga kawasan, termasuk Beting Maro, dalam pilihanraya negeri Sarawak 2001.

Dalam pilihanraya 2001, calon PAS di Beting Maro tewas tetapi tidak hilang deposit manakala di dua kawasan lain parti itu kalah hingga hilang wang depositnya.

Mampu raih sokongan

Kamaruddin berkata, PAS yakin calonnya mampu meraih lebih sokongan kali ini kerana sokongan rakyat Sarawak terhadap parti pembangkang semakin kuat kebelakangan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pilihan raya negeri Sarawak pada 9 Mei dan hari pengundian 20 Mei 2006. Sebanyak 71 kerusi dipertandingkan kali ini.

Difahamkan rombongan PAS pada hari penamaan calon itu nanti akan diketuai oleh Naib Presidennnya, Datuk Husam Musa.

PAS akan berkerjasama dengan pakatan pembangkang, Barisan Bersatu Sarawak yang diketuai Parti Keadailan Rakyat (PKR).