Kerajaan memantau rapat perkembangan di Asia Barat secara 24 jam sehari sebelum membuat keputusan memindahkan rakyat Malaysia di Iran dan Iraq, kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Ketegangan di Asia Barat kian meruncing susulan kematian komander tertinggi tentera elit Iran, Qassem Soleimani, dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat (AS) berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal pagi Jumaat lalu.

"Pemindahan itu belum lagi... kita dah mula mesyuarat antara agensi dan yang berkaitan, dan pantau 24 jam apa yang berlaku di sana.

“Malawakil (Pejabat Perwakilan Malaysia) kita di Tehran juga sentiasa berhubung dengan kita, begitu juga malawakil yang berdekatan - contohnya di Jordan - sentiasa memberi laporan," katanya ketika diminta mengulas perkembangan ketegangan AS dan Iran.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi kerjasama antara Wisma Putra dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang akademik, kebudayaan dan penyelidikan, di Putrajaya, hari ini.

Menurut Saifuddin, untuk membuat pemindahan rakya ia memang kelihatan mudah.

"Tapi pastinya tidak seperti pergi untuk lawatan, dan lebih-lebih lagi kita tidak boleh umum rancangan kita demi keselamatan rakyat kita, namun kerajaan melakukan semua persediaan yang diperlukan,” katanya.

Saifuddin berkata Wisma Putra mengeluarkan nasihat perjalanan dan berharap rakyat Malaysia di Iran dan Iraq serta yang ingin membuat perjalanan ke sana perlu mengambil langkah keselamatan.

Terdapat 163 rakyat Malaysia di Iraq yang kebanyakannya adalah kakitangan Petronas, selain beberapa pensyarah, manakala di Iran pula ada 73 orang berdaftar dengan Malawakil di Tehran.

Berikutan ketegangan di Asia Barat, Manila semalam mengarahkan pemindahan mandatori pekerja Filipina dari Iraq dan Iran. Kerajaan Filipina juga menghantar sebuah kapal pengawal pantai ke Asia Barat bagi membawa rakyatnya sekiranya keadaan bertambah buruk.

Dilaporkan ketegangan antara Washington dan Tehran reda selepas Presiden Donald Trump memberikan kenyataan berkaitan serangan Iran terhadap pangkalan tentera AS di Iraq kelmarin.

- Bernama