Kanak-kanak perempuan rentung dalam bilik
Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemukan rentung dalam sebuah bilik di tingkat rumah teres dua tingkat yang musnah terbakar di Taman Lip Sin, Bayan Lepas petang tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong, berkata mayat Koey Siew Kim ditemui dalam keadaan terbaring berhampiran tingkap bilik itu, dipercayai cuba menyelamatkan diri semasa kejadian kira-kira jam 4.15 petang.
"Pihak bomba ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dan sebaik tiba, api sedang marak
"Kami dimaklumkan terdapat seorang kanak-kanak perempuan berada di tingkat atas.
"Bomba berusaha untuk menyelamat, namun api terlalu marak dan selepas usaha memadam api berjaya, mangsa ditemui mati dalam keadaan terbaring serta rentung," katanya.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, rumah itu didiami mangsa bersama ibu bapa, adik lelaki serta neneknya dan ketika kejadian hanya mangsa berada di tingkat atas rumah tersebut.
Soffian berkata adik lelaki mangsa berusia lima tahun dan seorang ibu saudara berusia 40-an, serta neneknya yang berusia 71 tahun berada di tingkat bawah.
Dua jentera dihantar
Katanya, mereka berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran di tingkat atas.
"Mereka cuba menyelamat kanak-kanak perempuan itu, namun api sangat marak.
"Semasa kejadian ibu bapa tiada di rumah kerana pergi ke sebuah pasar raya berhampiran kediaman mereka untuk membeli barang keperluan," katanya.
Menurutnya, siasatan awal oleh pihak bomba mendapati api mula marak di tingkat atas rumah. Bagaimanapun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Beliau berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak. Shamsol Alam Man, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 4.21 petang dan terus bergegas ke lokasi dengan dua jentera dari Balai Bomba Jalan Perak dan Balai Bomba Bayan Baru.
"Ketika bomba tiba di lokasi, api sudah marak dan kami berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.47 petang sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya sejam kemudian.
"Kami dimaklumkan terdapat kanak-kanak terperangkap di tingkat dua rumah itu sebelum mayatnya ditemui selepas api dipadamkan sepenuhnya" katanya.
- Bernama

