Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendedahan rakaman audio boleh panjangkan lagi kes 1MDB, kata bekas hakim

Tindakan SPRM mendedahkan rakaman perbualan telefon Najib Abdul Razak boleh memanjangkan perbicaraan berkaitan 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu, kata bekas hakim Mahkamah Rayuan Mah Weng Kwai.

Katanya, klip audio itu boleh dianggap sebagai sub judice berhubung dengan perbicaraan melibatkan RM42 juta dana SRC International yang sedang berjalan, perbicaraan RM2.28 bilion 1MDB dan perbicaraan dakwaan mengubah laporan audit 1MDB.

Memandangkan pasukan undang-undang Najib sedang menimbang untuk menyaman SPRM dan ketua pesuruhjayanya, Latheefa Koya, Mah berkata tindakan sedemikian akan memanjangkan lagi kes-kes tersebut.

Katanya, perbicaraan-perbicaraan berkenaan juga boleh ditangguhkan jika pihak yang terlibat memohon untuk menggunakan rakaman audio itu untuk kes mereka.

Mah juga menyorot kepada dua kes terdahulu di mana bukti yang diperoleh secara tidak sah namun dibenarkan mahkamah.

Beliau berkata Mahkamah Agung memutuskan demikian dalam kes melibatkan Ramli Kechik dengan Pendakwa Raya (1986), dan sama halnya dengan kes di Mahkamah Rayuan melibatkan Hanafi Mat Hasan dan Pendakwa Raya (2006).

Justeru, Mah meramalkan bahawa pasukan perundangan Najib akan berusaha untuk menggunakan sebahagian daripada rakaman audio yang didedahkan SPRM untuk pembelaan anak guam mereka.

"Mungkin ada penangguhan yang lebih panjang dalam perbicaraan kes (1MDB) kerana saya fikir pasukan pembelaan akan memohon untuk menggunakan sebahagian rakaman audio ini, jika mana-mana bahagian rakaman itu memihak kepada mereka.

"Jadi akan ada satu lagi proses untuk menentukan sama ada rakaman ini perlu dimasukkan ke dalam perbicaraan yang sedang berlangsung ketika ini," katanya kepada Malaysiakini.

"Saya fikir meneruskan perbicaraan adalah keutamaan," katanya.

Mengapa tergesa-gesa?

Mengambil kita respons yang mungkin berlaku, Mah berkata beliau "terkejut" oleh pendedahan SPRM dan mempersoalkan tujuan dan pemasaan tindakan suruhanjaya pencegahan rasuah itu.

"Apa gunanya mendedahkannya (rakaman audio) ketika ini?

"Sekiranya SPRM merasakan bahawa maklumat itu boleh diperkenalkan sebagai sebahagian daripada bukti dalam kes mahkamah sekarang, mereka sepatutnya teruskan saja dan melakukan itu.

"Buktikan kesahihan, kandungan dan signifikan semuanya di mahkamah. Itu adil kepada semua orang," katanya.

 

Begitu juga, hakim Mahkamah Tinggi Syed Ahmad Idid juga mempersoalkan masa pendedahan itu.

"Saya dalam perjalanan dan tidak mempunyai masa untuk mendengar sepenuhnya rakaman audio itu.

"Daripada apa yang dilaporkan di akhbar, masa penerbitan rakaman perbualan itu kelihatan tidak sesuai, tetapi ketua pesuruhjaya SPRM mungkin mempunyai sebab yang baik untuk menyebarkannya ketika ini.

"Mereka yang menganggap perbuatan ini sebagai sub judis boleh mendapatkan penghakiman mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.

Selain daripada dua bekas hakim itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan peguam Ramkarpal Singh juga menyatakan kebimbangan mengenai pendedahan rakaman audio itu.

Menyifatkan tindakan itu sebagai "tidak wajar dan dikesali", Ramkarpal berkata terpulang kepada mahkamah untuk menentukan sama ada rakaman audio berkenaan menunjukkan salah laku jenayah atau tidak.

"Perlu dikatakan bahawa Latheefa tidak sepatutnya melakukan ini kerana ia boleh dianggap sebagai penghakiman media terhadap pihak yang dikaitkan dalam rakaman itu," katanya.

Melibatkan kepentingan awam

Bagaimanapun, peguam Lim Wei Jiet, menyokong tindakan SPRM kerana menurutnya isu-isu serius yang tersirat dalam rakaman itu menjadikan ia lebih daripada sekadar kes jenayah biasa dan melibatkan kepentingan awam.

"Wajarkan SPRM telah menyiarkan rakaman itu kepada media? Kenapa tidak hanya menampilkannya sebagai bukti di mahkamah? Kerana ia adalah kepentingan awam tertinggi.

"Kita tidak pernah mengadu apabila polis bercakap kepada media mengenai dadah, senjata api dan rampasan beg isteri Najib (Rosmah Mansor).

"Bukankah semua itu juga bukti mahkamah?" katanya dalam siri ciapan Twitter.

"Ini bukan mengenai pegawai Jabatan Imigresen peringkat rendah meminta rakan polisnya untuk menutup pemalsuan pasport.

"Ini adalah tentang seorang perdana menteri (ketika itu) yang berpotensi menyalahgunakan kuasa di peringkat tertinggi kerajaan dan pemimpin-pemimpin asing yang terlibat dalam transaksi haram. Orang ramai mempunyai [...] hak untuk mengetahui tentang ini," katanya.

 

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Mohamed Arshad Raji juga mempertahankan Latheefa berhubung isu berkenaan.

"Kami maklum bahawa tindakan Latheefa mendedahkan rakaman perbualan telefon yang direkodkan kepada awam mungkin merupakan sub judis dan melanggar kedaulatan undang-undang.

"Pendedahan rakaman telefon ini tidak akan menambah kepada penghakiman media yang sememangnya sudah berlaku.

"Semua itu soal kedua memandangka negara kita berada pada masa yang luar biasa apabila sebahagian besar rakyat kelihatan seperti percaya bahawa bekas PM masih tidak bersalah dan parti pembangkang mengambil kesempatan menggunakan agama untuk memecahkan lagi rakyat.

"Negara kita berada dalam tahap paling buruk dari segi konflik berkaitan kaum,"katanya dalam satu kenyataan.

Arshad berkata kelakuan Latheefa patut dipuji, bukannya dikritik.

"Kami diberitahu bahawa perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad) sekali pun tidak dirujuk mengenai sidang akhbar (Rabu lalu apabila rakaman audio didedahkan SPRM).

"Ini adalah langkah positif ke arah menginsititusikan SPRM sebagai badan bebas," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS