Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafie: Biar Muhyiddin buktikan cadangan PSS bermula zaman BN

Kerajaan Sabah menyerahkan kepada Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin untuk mendedahkan dokumen bagi membuktikan bahawa cadangan pas sementara Sabah (PSS) bermula pada zaman BN.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata Muhyiddin akan menjelaskan perkara itu ketika turun padang berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

"Nanti Muhyiddin datang... bagi Muhyiddin jelaskan sebab Kementerian Dalam Negeri di bawahnya.

"PSS (menggunakan) biometrik, bukan cap jari, elok Muhyiddin jelaskan selaku menteri berwajib," katanya ketika ditemui selepas berkempen di Bongawan, Kimanis, petang tadi.

Shafie berkata demikian selepas ditanya berhubung kenyataannya semalam bahawa beliau akan membuktikan PSS merupakan cadangan diambil kerajaan negeri daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin (PTI) pada zaman BN.

“Nanti saya akan tunjukkan dokumen dia, Pengerusi dia Tan Sri Joseph Pairin Kitingan,” katanya dipetik media semalam.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menafikan BN pernah mengemukakan cadangan itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman pula dilapor berkata bahawa BN telah mengemukakan cadangan untuk mengeluarkan Pas Residen Sementara Sabah (Press) bagi mengatasi masalah warga asing di negeri itu.

Beliau berkata, Press akan dikeluarkan bagi menggantikan IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dipegang oleh warga asing di Sabah.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak terlaksana selepas BN tewas dalam pilihan raya umum.

“Selepas kerajaan bertukar, kita bersetuju meneruskan cadangan pengeluaran kad berkenaan dan ubah namanya kepada Pas Sementara Sabah (PSS).

“Ini menunjukkan cadangan pelaksanaan PSS dibuat oleh Umno dan BN, buktinya ada di tangan saya.

“Sebab itu saya kata Umno munafik kerana membantah perkara yang mereka cadang sendiri,” katanya seperti dilapor BH Online.

PSS menjadi isu yang diketengahkan BN bagi meraih undi dalam kempen PRK Kimanis.

PSS ialah dokumen baru Jabatan Imigresen yang dikeluarkan terhadap pendatang, bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Ini susulan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing pada 6 Sept, 2019 dan diumumkan kemudian Muhyiddin pada hari yang sama.

Pemegang IMM13 ialah pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an. Ia terjadi ketika meningkatnya keganasan puak pemisah di rantau Mindanao, Filipina yang menyaksikan ramai pelarian daripada rejim Marcos.

Pendatang ekonomi, sebaliknya diberikan Kad Burung-Burung pada tahun 1980-an. Selebihnya, diberikan kad Sijil Banci oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan pada 1990-an.

IMM13 dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, manakala kad Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan sijil banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam ucapannya, Shafie berkata PSS adalah kad yang menggunakan teknologi biometrik dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan.

Ia termasuklah sistem imbasan mata bagi mengesan pendatang tanpa izin (PTI) daripada kembali semula ke negara itu.

Sementara itu Pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin menyifatkan PPS sebagai "talian hayat" kepada Warisan untuk terus berkuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Cadangan Warisan untuk mengadakan PSS kerana mereka ada agenda tersembunyi.

"Dengan PSS memudahkan mereka untuk 'menghalalkan' pemberian kerakyatan yang akan membolehkan mereka untuk berkuasa 5 tahun lagi.

"PSS disyorkan oleh kerajaan hari ini termasuk wakil rakyat Kadazan Dusun," katanya.

Jelasnya, masyarakat Bumiputera Sabah majoriti tidak bersetuju dengan pelaksanaan PSS kerana boleh memberi kesan kepada keselamatan dan keharmonian.

Lihat Komen
ADS