Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis terima laporan SPRM, tapi belum dapat rakaman audio

Polis telah membuka siasatan berhubung rakaman audio yang didedahkan SPRM, yang dikatakan mengandungi perbualan berkaitan 1MDB antara bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa individu termasuk pemimpin luar.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Mior Farid Alathrash, yang mengatakan bahawa mereka telah menerima laporan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya awal petang ini.

"Saya dapat mengesahkan bahawa laporan polis telah dibuat di Putrajaya pada awal petang ini.

"Laporan itu dibuat oleh ketua pesuruhjaya SPRM," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Mior juga mengesahkan bahawa siasatan itu akan dijalankan oleh unit berkenaan, yang berada di bawah Jabatan Siasatan Jenayah.

Bagaimanapun, katanya, polis belum menerima rakaman audio daripada SPRM.

"Kami belum menerima rakaman audio lagi," katanya.

Beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai akta yang akan digunakan bagi siasatan itu.

Mior berkata berkata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed akan mengadakan sidang akhbar pada Isnin.

Kenyataan Mior kepada Malaysiakini bercanggah dengan kenyataan Latheefa, yang memberitahu pemberita pada hari Khamis bahawa SPRM telah menyerahkan sebahagian rakaman audio berkenaan kepada polis.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara ini.

Pada 8 Jan lalu, SPRM mengeluarkan sembilan rakaman audio perbualan telefon yang melibatkan Najib dan berkaitan dengan skandal 1MDB.

Sembilan klip audio tersebut dikatakan memberi gambaran bahawa terdapat “konspirasi jenayah” besar untuk mengganggu proses keadilan berhubung penyiasatan 1MDB.

Lihat Komen
ADS