Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia lawan Filipina: Saya hanya menyambung kata - Mohamad

PRK KIMANIS | Mohamad Hasan menolak tuduhan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal yang mendakwa beliau melabelkan pertembungan antara BN dan Warisan di Kimanis umpama perlawanan Malaysia menentang Filipina.

Sebaliknya kata timbalan presiden Umno itu, beliau tidak membuat tuduhan sedemikian rupa, sebaliknya hanya "menyambung" apa yang diperkatakan pihak tertentu kepadanya.

"Saya tiada apa-apa niat, saya hanya menyambung kata apa yang diperkatakan kepada saya.

"Saya tidak membuat tuduhan, boleh tengok (rakaman) video (kempen)," katanya ketika ditemui selepas berkempen di Binsulok, Kimanis, malam tadi.

Mohamad berkata demikian sebagai menjawab tuduhan bekas naib presiden Umno bahawa beliau melabelkan penyokong Warisan sebagai Filipina.

Semalam, Shafie juga mendakwa yang beliau sudah mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada timbalan pengerusi BN itu supaya memohon maaf terhadap tuduhan yang dibuatnya.

Mohamad ketika berkempen selepas penamaan calon berkata pertembungan antara BN dan Warisan di Kimanis umpama perlawanan antara Malaysia dengan Filipina.

Jelasnya, beliau dimaklumkan oleh pendudukan tempatan di Kimanis bahawa 'BN itu Malaysia dan Filipina adalah Warisan'.

"Ada orang cakap pada saya, Datuk itu semua orang Filipina, itu dibayar itu, saya tak tahulah saya menyambung cakap saja," katanya ketika berkempen pada 4 Jan lalu.

'Ludah ke langit jatuh ke muka sendiri'

Menjawab tuduhan ketua menteri Sabah bahawa Umno gagal membangunkan negeri itu selepas lebih 30 tahun mentadbir Sabah, Mohamad Hasan berkata, tuduhan Shafie yang juga bekas naib presiden Umno itu umpama "meludah ke langit jatuh muka sendiri".

"Tidak benar itu, saya pada tahun 1980-an bekerja sebagai pengurus bank di Kota Kinabalu, banyak perubahan yang telah dibawa.

"Jadi, kalau beliau kata begitu umpama meludah ke langit jatuh ke muka sendiri, sebab beliau juga lama dalam Umno," katanya.

Sementara itu, Mohamad juga membidas kenyataan Shafie yang mengatakan bekas perdana menteri, Abdul Razak Hussein dan bekas timbalan perdana menteri Ghafar Baba juga gagal dalam membangunkan Sabah.

Shafie berkata demikian sebagai menjawab tuduhan BN bahawa beliau gagal membangunkan Sabah ketika memegang jawatan sebagai menteri termasuk sebagai menteri kemajuan luar bandar dan Wilayah.

Jelas Mohamad, hanya mereka yang "sasau" saja mengungkit pencapaian mereka telah tiada untuk dijadikan perbandingan.

Lihat Komen
ADS