Pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Pahang Datuk Mazlan Idris pada Julai 1993, telah menggemparkan seluruh negara apabila seorang bomoh wanita, Maznah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey didakwa di mahkamah dan akhirnya didapati bersalah.

Mona dan dua orang lagi yang turut didakwa dalam kes pembunuhan Mazlan suami Mona Mohamad Affandi Abdul Rahman dan Juraimi Kassim dijatuhkan hukuman gantung sehingga mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh.

Mayat Mazlan ditemui ditanam sedalam 1.8 meter di dalam sebuah lubang di dalam bilik setor di sebuah rumah yang tidak siap dan ditutup dengan simen. Mayatnya didapati dipotong 18.

Mazlan dikatakan telah mendapatkan khidmat Mona untuk meningkatkan kerjaya politiknya dalam Umno.

Mazlan dilaporkan hilang pada 2 Julai 1993 selepas beliau mengeluarkan RM RM30,000 dari sebuah bank di Kuala Lumpur.

Sehari selepas pembunuhan itu Mona telah membeli-belah di Kuala Lumpur dan kemudiannya membeli sebuah kereta Mercedes-Benz.

Polis mula-mula menyoal Juraimi dan kemudian membawa kepada penemuan mayat Mazlan dan ini menjadikan Mona dan suaminya suspek utama dalam kes pembunuhan itu.

'Rotan ajaib'

Mereka bertiga akhirnya digantung di Penjara Kajang pada 2 November 2001. Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh Datuk Mokhtar Sidin membuat keputusan itu di bawah Seksyen 302 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Perbicaraan selama 65 hari itu mendedahkan bahawa Mazlan telah dibunuh di antara jam 10 malam 2 Julai dan 18 Julai 1993 Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub di Pahang.

Affandi memberitahu mahkamah bahawa Mazlan memberi beliau RM2 juta untuk mendapatkan `rotan ajaib', batu ajaib dan topi tradisional yang dikatakan kepunyaan bekas Presiden Sukarno.

Jenazah Mona dan Affandi dikebumikan di Kajang sementara Juraimi di kampungnya, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Kelang.