PKR buat laporan polis terhadap ahli Parlimen Jasin
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Jasin hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof yang didakwa cuba mengganggu tugas Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia (KDRM).
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Jasin hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof yang didakwa cuba mengganggu tugas Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia (KDRM).
Laporan itu dibuat oleh Ketua PKR Bahagian Jasin, Shamsul Iskandar Mohd Akin (foto) yang juga Naib Ketua Pemuda PKR di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin pada jam 11.56 pagi tadi.
Shamsul berkata, laporan tersebut diterima oleh Koperal Shamsul Abdullah dan beliau memberitahu, pihaknya polis akan memanggilnya untuk memberi kenyataan bertulis.
Dalam kenyataan media yang dihantar kepada malaysiakini , beliau berkata, PKR Jasin mahu polis menyiasat kerana mendakwa Mohd Said dengan kesalahan rasuah dan salahguna kuasa.
Shamsul berkata, tindakan Mohd Said mengkritik Ketua Pengarah KDRM, Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid di Dewan Rakyat baru-baru ini menunjukkan beliau cuba mempengaruhi pihak berkuasa, yang menurutnya bukan urusan seorang ahli Parlimen.
Katanya, kesalahan yang dilakukan oleh Mohd Said lebih serius daripada yang dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenakan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan penyalahgunaan kuasa semasa memegang jawatan dalam kerajaan.
Rampasan kayu bergergaji
Media melaporkan hari ini yang Mohd Said mengaku menemui pegawai KDRM Melaka bagi mendapatkan penjelasan berhubung kes rampasan kayu bergergaji yang dibawa dari Indonesia baru-baru ini.
Bagaimanapun, kata ahli Parlimen Jasin itu dilaporkan berkata, pertemuan tersebut dibuat berdasarkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan.
"Saya menerima aduan seorang usahawan di kawasan saya yang menyatakan kayunya disita Kastam di Pelabuhan Sungai Rambai. Saya pergi ke pejabat Kastam untuk mendapatkan penjelasan.
"Saya memohon pegawai KDRM menggunakan budi bicara dengan hanya mengenakan kompaun dan bukannya menyita kayu berkenaan kerana ia merugikan usahawan terbabit," katanya dalam laporan Berita Harian hari ini.
Lanjutan dari isu itu, Ahli Parlimen Johor Bahru Datuk Shahrir Samad telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BBC) semalam.
Beliau berbuat demikian apabila kebanyakan ahli BBC tidak menyokong pendiriannya berhubung usul untuk merujuk Mohd Said kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk disiasat berhubung kes berkenaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.