Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohamaddin: Tiada isu lulus peruntukan untuk sekolah di Kimanis

PRK KIMANIS | Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi semalam mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk menaik taraf kemudahan sebuah sekolah di kawasan parlimen Kimanis.

Ini berlaku selepas Pegawai Daerah Papar, Ghulam Rasul Hapil secara terbuka memohon peruntukan untuk memperbaiki atau menaik taraf SMK Bongawan II, di mana Jelajah Cuti-cuti Malaysia diadakan di antara 10 Jan dan 12 Jan.

"Sebentar tadi tuan DO minta saya lihat kalau boleh sekadar beri peruntukan kepada sekolah ni. Saya memohon pengetua tulis surat kepada saya dan dengan tu terlebih dahulu saya luluskan dan tinggal kelulusan RM50,000 untuk Sekolah Bangawan II ini.

"Inilah kebaikannya kalau kita ada kuasa, kita memerintah, apa yang diminta kita boleh terus luluskan dan tidak payah lagi saya garu kepala. Oleh kerana kita ni pemimpin di dalam kerajaan, ada duit, apa rakyat minta kita bagikan," katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, beliau berkata peruntukan itu adalah untuk menaik taraf padang bola sepak dan dewan sekolah berkenaan.

Mohamaddin berkata beliau melihat tiada isu dalam memberi peruntukan kepada sekolah tersebut kerana pelajar bukan pengundi dalam PRK Kimanis.

Bagi pengundi, beliau berkata ia terpulang kepada mereka sama ada mahu menyokong Warisan atau tidak.

Beliau juga berkata pengumuman peruntukan berkenaan bukan merupakan satu kesalahan pilihan raya.

"Jika ia menjadi satu kesalahan, mengapa Umno memberikan projek dan wang kepada rakyat semasa pilihan raya?"

"Maksud saya apa ni, mereka boleh buat, kita tak boleh buat?" katanya.

Mohamaddin juga menceritakan bagaimana beliau dikritik dan terpaksa memohon maaf dan menarik balik peruntukan RM80,000 untuk memulihkan dewan di Semenyih semasa pilihan raya kecil pada Februari tahun lalu.

Katanya, ketika itu beliau menarik balik peruntukan selepas mendapati langkah itu melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (di bawah) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semalam, beliau bagaimanapun berkata tidak faham mengapa niatnya untuk membantu orang ramai dianggap suatu kesalahan.

"Tujuan kita ni ikhlas, tapi apabila disalahertikan merugikan rakyat," jelasnya.

Siri jelajah Cuti-cuti Malaysia juga menawarkan cabutan bertuah seperti tiket penerbangan dan barangan elektrik.

Mereka yang menandakan tanda suka pada laman Facebook Tourism Malaysia Sabah berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berkenaan dan keputusannya akan diumumkan pada jam 2 petang setiap hari.

Mohamaddin berkata jadual jelajah Cuti-Cuti Malaysia telah ditetapkan sebelum tarikh pengundian Kimanis diumumkan.

Beliau berkata kementeriannya memutuskan untuk meneruskan jelajah berkenaan kerana ia bukan acara politik.

"Ia tidak ada kaitan dengan pilihan raya itu, bolehkah kamu klasifikasikan cabutan bertuah sebagai kesalahan rasuah? Saya tidak fikir begitu," katanya.

Pilihan Raya Kecil Kimanis menyaksikan calon Warisan, Karim Bujang menentang calon BN, Mohamad Alamin.

Pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 18 Jan.

Lihat Komen
ADS