Terjemahan Kementerian Air, Tenaga dan Komunikasi terus menjadi sasaran kritikan kerana didakwa gagal untuk 'berkomunikasi'.

Kementerian, Menterinya Datuk Seri Lim Keng Yaik dan para pegawainya didakwa tidak responsif dalam perbincangan mengenai dua rang undang-undang air yang kontroversi itu.

Keadaan ini menyebabkan Gabungan Menentang Pengswastaan Air (CAWP) kini beralih kepada pihak lain untuk menyuarakan rasa tidak puashati mereka.

Gabungan itu mahu pihak kerajaan menangguhkan bacaan kedua rang undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) 2006 dan rang undang-undang Industri PerkhidmatanAir (WSI) 2006 di Dewan Rakyat minggu depan.

"Kami telah menegaskan bahawa kami tidak menentang langkah pengawalan industri ini. Tetapi kami berharap pihak kementeriaan akan menimbang untuk menyemaknya semula," kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.

MTUC adalah antara badan yang menganggotai gabungan tersebut.

Semalam, gabungan tersebut menghantar memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Shahrir Samad, yang telah mengumumkan peletakan jawatannya sebelum ini.

Menteri berkenaan berjanji akan membawa perkara tersebut ke perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Memorandum itu bertajuk 'Rang Undang-undang Air Mengancam Kedaulatan dan Keselamatan Negara' dan disokong oleh 112 badan sivil dan masyarakat.

'Membazir masa'

Ketika ditanya dalam satu sidang akhbar di Petaling jaya hari ini, mengapa CAWP tidak menghantar memorandum itu kepada Lim, Penyelarasnyac Charles Santiago berkata ianya hanya 'membazirkan masa' sahaja.

Bagaimanapun, beliau berkata, gabungan itu masih terbuka untuk berbincang mengenainya.

"Ia tidak sepatutnya bercangah dengan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) yang mahukan rakyat berkerja dengannya. Kita mahu bekerja dengannya (Abdullah), tetapi menteri berkenaan dan para pegawainya tidak mahu bekerja dengan kita," tambahnya.

Santiago mendakwa, pegawai kementerian berkenaan tidak responsif kerana beberapa kali usaha mereka untuk berbincang mengenai perkara itu, menemui kegagalan.

"Ia adalah kementerian 'komunikasi' tetapi merka tidak mahu berkomunikasi dengan orang lain," katanya.

Menurutnya, gabungan tersebut telah puas berusaha membuat panggilan telefon, menghantar faks dan emel kepada pihak kementerian berkenaan, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.

Salah satu kebimbangan utama gabungan tersebut ialah jika rang undang-undang itu diluluskan, ia berisiko menjejaskan kedaulatan Malaysia kerana akan bergantung kepada syarikat air antarabangsa.

Lim telah menafikan dakwaan bahawa Malaysia akan membenarkan industri air dikuasai oleh syarikat asing.

Bagaimanapun, Santiago masih tidak yakin, sambil berkata menteri berkenaan 'cakap tak serupa bikin'.

"Menteri berkenaan telah membuat banyak komitmen, tetapi beliau tidak melakukan apa-apa selepas semua sesi perbincangan," tambahnya.

Tindakan konkrit

Sementara itu, Syed Shahir turut mengecam Lim kerana didakwa tidak mengotai janjinya bahawa pandangan dan syor-syor yang dibuat oleh badan masyarakat sivil akan dipertimbangkan.

Ini, tegasnya, tidak dicerminkan langsung dalam rang undang-undang tersebut.

"Kami tidak mahu janji-janji di mulut sahaja tetapi mahukan tindakan yang konkrit," tambahnya.

Hanya terdapat tiga sahaja pindaan yang dibuat terhadap rang undang-undang tersebut, sedangkan badan-badan masyarakat sivil telah membuat 350 syor dalam 80 sesi perundingan yang diadakan oleh pihak kementerian sepanjang tempoh lima bulan.

Syed Shahir berkata, sekurang-kurang 10 anggota gabungan itu akan mengikuti perbahasan mengenai rang undang-undang bekenaan sekiranya bacaan kedua diteruskan seperti yang dijadualkan.

Presiden MTUC itu juga tidak puashati kerana pihak media kerana tidak berminat untuk memberi tumpuan kepada isu tersebut walaupun ianya menyentuh kepentingan awam.

"Mengapa media Malaysia tidak berminat. Anda pun menggunakan air bukan?" soalnya. Berita asal