Malaysiakini
BERITA

‘Kabinet bincang cadangan ambil alih Plus Rabu ini’

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Jan 2020, 5:47 pagi

Cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya kendalian Plus Malaysia Bhd (Plus) dan empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata pengumuman akan dibuat selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tempoh bila pengumuman keputusan pengambilalihan konsesi itu akan dibuat.

"Tunggulah pengumuman, saya tidak boleh membuat pengumuman secara spontan kerana itu adalah pengumuman penting, biasanya berdasarkan kenyataan bertulis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, di George Town, hari ini.

Disember lepas, Menteri Kerja Raya Baru Bian dilaporkan sebagai berkata Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan konsesi lebuh raya Plus itu dibentangkan semula.

Plus merupakan cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam Plus manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Sementara itu, empat lebuh raya berkaitan Gamuda tersebut ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

- Bernama


Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.