Rakyat Singapura keluar mengundi hari ini dan banyak pihak berpendapat parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) sukar mengulangi pencapaian besarnya dalam pilihanraya umum kali ini.

Semua pemilih di negara ini diwajibkan mengundi dalam pilihanraya umum hari ini yang menyaksikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong cuba mendapatkan mandat besar daripada rakyat setelah mengambil alih jawatan itu daripada Goh Chok Tong hampir dua tahun yang lalu.

Parti Tindakan rakyat (PAP) dijangka tidak menghadapi masalah untuk kembali berkuasa tetapi kebanyakan penganalisis berpendapat persoalannya ialah sebesar mana mandat untuk Lee dan pasukannya.

Pada hari penamaan calon 27 April lalu, PAP menang tanpa bertanding hanya di 37 kerusi Kawasan Perwakilan Kumpulan (GRC) kali pertama parti pemerintah itu dinafikan kemenangan majoriti pada hari penamaan calon dalam tempoh 18 tahun.

Menurut laporan Bernama, dalam pilihanraya umum 2001, PAP menerima 75.3 peratus undi popular dengan memenangi 82 daripada 84 kerusi yang dipertandingkan dan daripada jumlah itu, 55 dimenanginya tanpa bertanding.

Pilihanraya pertama Lee

Parti itu dijangka tidak menghadapi kesukaran untuk memperolehi mandat 61 peratus ke atas dan tidak kehilangan lebih dripada empat kerusi daripada jumlah yang dikuasainya sebelum ini, dan pencapaian itu boleh dianggap cukup baik bagi Lee yang pertamakali menghadapi pilihanraya umum sebagai Perdana Menteri.

Ini berdasarkan dalam menghadapi pilihanraya umum pertama sebagai Perdana Menteri pada 1991, Goh mendapat mandat 61 peratus dan hilang hanya empat kerusi kepada pembangkang.

Sebanyak 422 pusat mengundi di sembilan kawasan pilihanraya satu anggota dan di tujuh GRC, mula dibuka pada jam 8 pagi dalam keadaan hujan lebat dan kilat sabung-menyabung. Bagaimanapun, keadaan cuaca kembali cerah tidak lama kemudian.

Pengundian akan berakhir pada jam 8 malam ini dan pengiraan undi akan bermula sejurus kemudian. Keputusan pertama dijangka diketahui kira-kira dua jam selepas itu.

Peraturan pilihanraya republik ini memperuntukkan bahawa parti lawan boleh memohon pengiraan semula undi sekiranya seseorang calon atau sepasukan calon menang dengan majoriti dua peratus ke bawah.