Kawasan kawasan bekas tapak pelupusan sampah sepatutnya tidak boleh dibangunkan sehingga leachate berjaya dirawat sepenuhnya, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid.

"Negara tersilap... apa yang boleh dibuat. Sekarang ini kita akan lihat pada akta di mana ada kelemahan kita akan perbetulkan," katanya.

Katanya, kawasan bekas pelupusan sampah telah dibangunkan sebagai kawasan kediaman tanpa mengambil kira soal merawat air larut resap (leachate) yang menggugat kesihatan dan keselesaan penduduk terbabit.

Katanya, bekas kawasan tapak pelupusan sampah yang banyak dibangunkan semula oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), terletak di bandar-bandar utama yang jumlah penduduknya ramai seperti sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Sebelum itu, beliau telah meninjau kawasan tasik dan kolam rawatan leachate yang didakwa mengeluarkan bau busuk di Taman Sri Manja di Petaling Jaya.

Katanya, kawasan tapak perumahan Taman Sri Manja seluas 114 ekar itu merupakan bekas tapak pelupusan sampah dan masih terdapat leachate di bawah tanah kawasan itu.

5,000 penduduk terjejas

Menurut laporan Bernama, keadaan itu menyebabkan penduduk di sekitar kawasan taman perumahan itu mengadu masalah bau busuk disebabkan air larut resap atau leachate yang juga didakwa boleh mengaratkan besi dan zink.

Seramai 5,000 penduduk Taman Sri Manja yang mula berpindah ke kawasan itu pada 2000, terdedah kepada bau busuk akibat leachate yang didakwa menyebabkan duit syiling, kunci, perhiasan rumah, pakaian dan kad ATM bertukar warna kepada kehitaman.

Azmi berkata daripada 114 ekar itu, 15 ekar lagi tidak dibangunkan dan terdapat sebuah kolam kecil yang merawat leachate di mana keadaan bertambah buruk apabila hujan.

"Di sebelah kolam ada sebuah tasik bekas tapak pelupusan sampah dan terdapat enam buah longkang utama di tasik itu. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah longkang-longkang ini perlu dialihkan supaya air terus mengalir ke Sungai Klang.

"Bila longkang ini dialihkan, air yang mengalir termasuk leachate tidak akan memasuki tasik bekas kawasan pelupusan sampah dan juga kolam rawatan leachate," katanya.

Justeru, beliau mahu supaya Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) menghentikan semua projek pembangunan di sekitar kawasan Taman Sri Manja sehingga masalah leachate diselesaikan sepenuhnya.