Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR guna kamera video rakam proses undi PRK Kimanis
Diterbitkan:  Jan 14, 2020 11:33 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperkenalkan penggunaan kamera video di semua saluran mengundi pada hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Kimanis 18 Jan ini.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata langkah itu sebagai salah satu usaha penambahbaikan untuk sistem pilihan raya yang cekap dan telus.

“Penggunaan kamera video ini adalah untuk rakaman keadaan dalam saluran dan memudahkan SPR untuk menyemak semula proses pengundian dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ia dipasang di semua 68 saluran dan akan dikendalikan oleh pegawai SPR,” katanya dalam satu kenyataan.

Azhar juga berkata rakaman melakui kamera video itu akan digunakan sebagai pemantauan kualiti dan rujukan untuk tujuan latihan serta penambahbaikan proses pilihan raya akan datang.

Menurut Azhar, penggunaan kamera video itu tidak akan sama sekali menjejaskan kerahsiaan pengundian memandangkan kamera ini dipasang jauh dari petak undi dan kehadiran ejen calon di tempat mengundi adalah dikekalkan.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) - Bongawan dan Membakut - dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada luar negara.

Pemilih terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

Lihat Komen
ADS