Terjemahan Sebuah badan pemantau pilihanraya menggesa Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Setiausaha SPR, Kamaruzaman Mohd Noor "supaya mengambil serius jawatan masing-masing kerana didakwa telah mengelirukan rakyat dengan bertegas bahawa senarai pemilih bagi pilihanraya negeri Sarawak adalah bersih, sedangkan ia didakwa adalah sebaliknya".

Di segi moralnya, kata Pengerusi Badan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel), Abdul Malik Hussin, mereka patut berbuat demikian ekoran dakwaan mereka yang mengelirukan rakyat berhubung ketulenan senarai pemilih yang diwartakan pada 8 Mac tahun ini untuk digunakan dalam pilihanraya negeri Sarawak.

Baru-baru ini Abdul Rashid berkata senarai pemilih itu adalah bersih.

"Tetapi berdasarkan kepada hasil semakan kami bagi mengesahkan senarai pemilih itu bagi kawasan Kuching, Sibu dan Miri, kami menemui banyak perbezaan yang SPR perlu jelaskan," kata Abd Malik.

Katanya, ianya berkaitan dengan alamat yang digunakan oleh pemilih.

Pengundi tidak dikenali

Sebagai contoh, kata Abdul Malik, di bandar Sibu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan, 94 pemilih didaftarkan di alamat sebuah pejabat lima tingkat firma perakaunan yang juga merupakan alamat 14 syarikat berdaftar.

(Penyandang kerusi berkenaan ialah Pengerusi SUPP cawangan Sibu, yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Wong Soon Koh).

Katanya, Mafrel telah pergi ke alamat tersebut dan bertemu seorang yang hanya dapat mengenali satu sahaja daripada 94 nama yang didaftar sebagai pengundi di alamat yang sama.

Dalam satu lagi kes, 56 pengundi telah didaftarkan di alamat yang sama berupa sebuah rumah kedai tiga tingkat dalam kawasan DUN Padungan dalam Parlimen Bandar Kuching.

Menurut Abdul Malek, tingkat atas rumah kedai tersebut digunakan oleh DAP dan ianya berkunci ketika Mafrel pergi ke alamat berkenaan.

Seorang responden yang membuka kedai gunting rambut uniseks di tingkat satu berkata beliau mendaftar sebagai pengundi di alamat rumah.

"Nyata ada yang tidak kena di sini," kata Abdul Malik.

Dalam satu lagi alamat di No. 1 Jalan Foochow dalam DUN Pending, 26 pengundi didaftarkan di situ. Namun pemilik rumah tersebut yang tinggal di situ sejak lebih 20 tahun lalu, hanya dapat mengenalpasti namanya dan nama lapan anggota keluarganya dalam senarai tersebut.

"Siapakah 17 pengundi lagi yang tidak dapat dikenalpasti itu?" soal Abd Malik, sambil menambah, pemilih rumah berkenaan bimbang ada orang lain yang menggunakan alamatnya untuk mendaftar sebagai pengundi," katanya.

Di satu alamat di Kampung Lintang dalam DUN Semariang, Abdul Malik berkata, pihaknya mendapat tahu daripada penghuni rumah tersebut bahawa empat daripada 22 nama dalam senarai pemilih yang didaftar di alamat berkenaan, sudah meninggal dunia enam hingga 10 tahun yang lalu.

Berkerjasama dengan NRD

Pengerusi Mafrel itu berkata, SPR boleh menangani masalah seumpama itu dengan mudah secara bekerjasam arapat dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengeluarkan nama pengundi yang sudah meninggal dunia.

"Tugas SPR bukan sahaja menyediakan senarai pemilih, tetapi juga menyemaknya dan ia boleh dilakukan dengan mudah melalui sistem bersepadu dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengeluarkan nama pengundi yang sudah meninggal, tanpa perlu menunggu dimaklumkan oleh waris-waris mereka," tambahnya

Abdul Malik berkata, terdapat banyak nama pengundi yang sudah meninggal dunia masih ada dalam senarai pemilih.

Beliau berkata, ia berdasarkan kepada hasil penyelidikan Mafrel setakat ini ke atas senarai pemilih bagi pilihanraya negeri kali ini, dan senarai pemilih ketika pilihanraya kecil Pangkalan Pasir di Kelantan Disember tahun lalu.

Katanya, adalah mustahak senarai pemilih itu disemak, kerana ia boleh disalahguna oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menggunakan rekod pemilih yang sudah meninggal dunia itu, bagi mengundi, seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Sebagai contohnya, katanya, PAS telah membuat laporan polis mengenai perkara yang sama dalam pilihanraya kecil Pangkalan Pasir yang dimenangi oleh BN. Berita asal