Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis teliti laporan komplot jenayah terhadap Latheefa
Diterbitkan:  Jan 14, 2020 5:41 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Polis akan meneliti intipati laporan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi suruhanjaya itu serta Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya perlu mengkaji dahulu laporan itu sebelum apa jua tindakan diambil pihak polis.

"Apa intipati laporan perlu dikaji dahulu dan kami (polis) akan respons (ambil tindakan) selepas itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 16/2020 bersempena Tahun Baharu Cina di Persada PLUS di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan polis dibuat Pegawai Khas Undang-Undang kepada ketua pesuruhjaya SPRM, Sasha Lyna Abdul Latif di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.

Semalam, Latheefa dalam kenyataannya berkata laporan polis itu dibuat bagi menghantar satu mesej jelas kepada dalang di sebalik komplot itu yang beliau tidak tergugat atau terancam dalam melaksanakan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Latheefa berkata beliau akan meneruskan tugasnya untuk membersihkan negara ini daripada gejala rasuah walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti serangan peribadi dan ugutan terhadapnya.

Pada 8 Jan, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1MDB dan SRC International.

Mengulas rakaman audio yang didedahkan SPRM, Mazlan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut berhubung kes itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS