Terjemahan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata perhatian bukan sepatutnya disasarkan kepada Datuk Shahrir Samad kerana meletakkan jawatannya sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), tetapi sebaliknya terhadap Ahli Parlimen Jasin, Mohd Said Yusuf.

Katanya, Mohd Said yang menghadapi dakwaan telah menyalahguna kuasa selaku seorang ahli Parlimen dan bukan Shahrir.

Lim menegaskan demikian ketika mengulas laporan yang Shahrir mungkin berdepan dengan tindakan disiplin kerana menyokong usul pihak pembangkang untuk merujuk Mohd Said kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Laporan akhbar New Straits Times mendakwa, Mohd Said telah campurtangan dalam tugas Jabatan Kastam dan Eksais Diraja berhubung satu rampasan kayu balak bergergaji di Melaka.

Mohd Said menafikan yang beliau telah menyalahguna kuasanya, tetapi sebaliknya mendakwa, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid bertanggungjawab di sebalik laporan tersebut.

Seandainya Shahrir dikenakan tindakan kerana menyokong usul pembangkang yang bertujuan untuk menegakkan kehormatan dan maruah Parlimen dan ahli-ahlinya, maka kata Lim, ia merupakan satu 'tamparan hebat' kepada hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan Parlimen bertaraf dunia. Berita asal