BN Swak senarai 18 muka baru, termasuk empat calon wanita
Barisan Nasional (BN) Sarawak mengemukakan 18 muka baru, termasuk empat wanita, dalam senarai 71 calonnya yang akan bertanding dalam pilihanraya negeri itu pada 20 Mei depan.
Barisan Nasional (BN) Sarawak mengemukakan 18 muka baru, termasuk empat wanita, dalam senarai 71 calonnya yang akan bertanding dalam pilihanraya negeri itu pada 20 Mei depan.
Tujuh daripada muka baru itu adalah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), lima dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), empat dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan dua dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Empat calon wanita muka baru itu ialah peguam Sharifah Hasida Sayeed Aman Ghazali, 39, (PBB) bagi kerusi Samariang; guru agama Hajah Simoi Peri (PBB) bagi kerusi Lingga; guru besar Rosey Yunus (SPDP) untuk Bekenu dan calon termuda BN, Wong Zee Yeng (foto), 26, (SUPP) di Meradong.
Dua lagi calon wanita akan mempertahankan kerusi masing-masing, iaitu Lily Yong dari SUPP (Padungan) and Fatimah Abdullah dari PBB' (Dalat). Ketua Wanita PBB, Datuk Sharifah Mordiah memilih tidak bertanding kali ini dan digantikan oleh anaknya Sharifah Hasida di Semariang.
Senarai tersebut dimumkan oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching hari ini.
Senarai calon BN itu terdiri daripada 35 calon dari PBB 35, Supp (19), PRS (9) dan SPDP (8)
Taib sendiri akan mempertahankan kerusi Balingian. Manakala lapan penyandang tidak dicalonkan semula atas permintaan mereka sendiri.
Anak lelaki Taib, Dato' Seri Sulaiman yang sebelum ini disebut-sebut akan dicalonkan bertanding di Muara Tuang, tidak disenaraikan.
Muka baru yang lain dari PBB ialah adik Taib, Datuk Seri Ali Mahmud (Muara Tuang), Robert Lawson Chuat (Bukit Saban), Dr Murni Suhaili (Daro), Abu Seman Jahwie (Jemoreng) dan Dr Abdul Rahman Ismail (Bukit Kota).
Seperti yang dilaporkan oleh malaysiakini sebelum ini, Ali diletakkan bertanding di Muara Tuang yang sebelum ini disandang oleh bekas menteri pusat, Datuk Adenan Satem.
Adenan berpindah kawasan
Adenan pula dipindahkan bertanding di Tanjung Datu, iaitu salah satu daripada sembilan kerusi negeri yang baru.
Manakala muka baru dari SUPP ialah Tan Joo Phoi (Batu Kawah), Jonathan Krai Pilo (Engkilili), Paul Yong Khing Kee (Kidurong) dan Chia Chu Fatt (Pujut).
Muka baru dari PRS adalah Snowdan Lawan (Balai Ringin), Alexander ak Vincent (Ngemah), Liwan Lagang (Belaga) dan Joseph Mauh ak Ikeh (Tamin) manakala bekas Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Paulus Palu Gumbang dari dari SPDP yang akan bertanding di Batu Danau.
Selain Taib, Presiden SUPP dan Timbalan Ketua Menteri. Tan Sri Dr George Chan akan bertanding di Piasau manakala seorang lagi Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Presiden PBB Tan Sri Alfred Jabu, akan bertanding di Layar.
Presiden SPDP Datuk William Mawan Ikom akan mempertahankan kerusi Pakan manakala Presiden PRS Datuk Seri Dr James Masing akan bertanding di Baleh.
Pemimpin veteran SUPP, Toh Heng San pula tidak bertanding kali ini untuk memberi laluan kepada Jonathan Krai Pilo (Engkilili), anak kepada bekas pemimpin SUPP, Micheal Pilo.
Manakala Ahli Dewan Undangn Negeri Belaga dan Ngemah Stanley Ajang dan Gabriel Adit dari SPDM, tidak disenaraikan untuk mempertahan kerusi masing-masing. Mereka digantikan oleh Liwan Lagang dari PRS (Belaga) dan Alexander Vincent (Ngemah).
Bekas Menteri Muda, Wahab Dolah, yang kini merupakan ahli Parlimen Kuala Rajang, tidak mempertahankan kerusi negeri yang disandangnya sebelum ini, untuk memberi laluan kepada muka baru Dr Murnie Suhaili di Daro.
Manifesto pembangkang
Snowdan Lawan dari PRS dipilih untuk bertanding di kerusi baru majoriti Iban di Balai Ringin. Manakala ketua penerangannya yang juga Menteri Muda, Datuk Alfred Yap berpindah ke kawasan baru di Kota Sentosa.
Seperti yang dilaporkan oleh malaysiakini baru-baru ini, Robert Lawson Chuat, yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Timbalan Presiden PBB, Datuk Alfred Jabu, akan bertanding di Bukit Saban.
Taib menyifatkan pasukan baru itu mempunyai kemampuan atau kualiti yang menggabungkan antara pemimpin baru dan lama serta mencerminkan trend untuk membawa Sarawak maju ke hadapan.
Sementara itu, barisan pembangkang Barisan Bersatu Sarawak (BBS) hari mengumumkan manifestonya di ibu pejabat Snap di Kucing manakala parti MDC yang belum didaftarkan, bersetuju supaya kesemua 29 kawasan majoriti kaum Dayak ditandingi menggunakan simbol Snap.
Memorandum persafahaman itu ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua pihak terbabit hari ini dengan disaksikan oleh Penasihat MDC, Datuk Daniel Tajem, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri yang dijangka bertanding di Bukit Begunan.
Di bawah perjanjian persefahaman tersebut, mana-mana calon dari Snap akan kekal dalam parti itu manakala mereka yang dicalonkan oleh MDC akan menyertai MDC apabila parti itu didaftarkan kelak.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Wan Zainal Wan Sanusi memberitahu malaysiakini, partinya akan bertanding di kebanyakan kawasan majoriti Melayu/Melanau serta di empat kawasan majoriti pengundi Cina Padungan, Batu Kawa, Senadin and Piasau.
BBS akan mengumumkan senarai calonnya sehari sebelum hari penamaan calon pada 9 Mei.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.