Kesemua 27 maktab perguruan di seluruh negara dinaikkan taraf menjadi Institut Pendidikan Guru (IPG) mulai hari ini dan akan menawarkan ijazah sarjana muda bagi meningkatkan profesyen perguruan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Raza berkata, langkah itu sejajar dengan sasaran kerajaan untuk menyediakan 100 peratus guru berijazah bagi sekolah menengah dan 50 peratus bagi sekolah rendah menjelang 2010.

Bercakap di majlis pengisytiharan IPG di Institut Perguruan Tun Abdul Razak, di Kota Samarahan hari ini, beliau mahukan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan hanya mengambil calon guru yang komited dan dedikasi terhadap profesion itu.

"Ini termasuk calon guru mesti mempunyai personaliti dan keyakinan diri yang baik," katanya.

Guru juga, katanya, mesti ada rasa tanggungjawab dalam memenuhi aspirasi kerajaan dan rakyat dan bersedia berkhidmatan di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak setelah tamat pengajian.

Menurut laporan Bernama, Najib meminta suruhanjaya itu tidak melayan rayuan guru yang tidak mahu ditukarkan ke kawasan-kawasan berkenaan.

Keperluan perumahan

Katanya perubahan daripada maktab perguruan kepada IPG bukanlah dari segi nama sahaja tetapi pengisiannya bagi melahirkan guru cemerlang dan seterusnya pelajar cemerlang.

Menyentuh mengenai keperluan perumahan bagi guru, Najib berkata lebih banyak rumah guru akan dibina di seluruh negara termasuk di Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau mengulangi kenyataan bahawa sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan untuk kemajuan bidang pendidikan di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Dalam pada itu, beliau berharap guru dapat bersama-sama dengan kerajaan dalam perjuangan untuk menentukan hala tuju negeri ini dan negara bagi mencapai masa depan yang lebih cemerlang.