Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ronnie Liu sokong cadangan peralihan kuasa pada Mei
Diterbitkan:  Jan 15, 2020 10:23 AM
Dikemaskini: 2:23 AM

Adun Sungai Pelek Ronnie Liu turut menyeru agar peralihan kuasa yang menyaksikan presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri menjelang Mei tahun ini, dengan lancar.

Dalam satu kenyataan, pemimpin DAP itu berkata akar umbi PH menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa beliau bersedia melepaskan jawatannya dengan segera sekiranya majlis presiden PH memintanya berbuat demikian.

"Berdasarkan apa yang berlaku di negara sejak akhir-akhir ini, perlu bagi Dr Mahathir untuk menyerahkan jawatannya kepada Anwar.

"Peralihan kuasa ini perlu dilakukan dengan lancar demi kebaikan bangsa, rakyat dan Dr Mahathir serta keluarganya," kata Liu.

Sebelum ini, perdana menteri berkata beliau akan menghormati janjinya untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang akan diadakan di Malaysia pada November.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin PKR sebelum ini mencadangkan supaya peralihan kuasa tersebut berlaku pada Mei tahun ini.

Pada masa yang sama, Liu menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap prestasi PH setakat ini, sambil menggesa supaya peralihan kuasa itu berlaku lebih awal.

"Setakat ini, beliau (Mahathir) telah melakukan yang terbaik tetapi masa telah berlalu, dan rakyat lebih berjaga-jaga dengan cara kerajaan mengurus hal ehwal negara.

"Oleh itu, cara yang berbeza diperlukan untuk mengendalikan agenda negara bagi memastikan sokongan berterusan untuk gabungan ini,” kata Liu sambil mengatakan bahawa Mahathir kembali berkuasa selepas pilihan raya umum ke-14 ketika Anwar masih dalam penjara.

Beliau seterusnya menegaskan bagaimana Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu merupakan presiden PKR, sepatutnya dapat mengisi jawatan tersebut, tetapi majlis presiden PH telah memberi sokongan penuh untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh.

"Sekarang Anwar telah bebas, dan ahli Parlimen Malaysia, tiada masa yang lebih sesuai lagi daripada sekarang untuk Anwar mengambil alih.

"Dengan hasrat Mahathir untuk melaksanakan rombakan kabinet, mungkin sudah tiba masanya untuk beliau membenarkan Anwar memilih pasukan barunya menerajui kerajaan," kata Liu, sambil menambah bahawa tarikh peralihan 9 Mei akan menjadi satu peristiwa yang baik, juga bersempena dengan ulang tahun kedua PH mengambil alih kerajaan pusat.

"Lagipun, negara sudah lama menunggu Anwar untuk mengambil alih sebagai perdana menteri kelapan Malaysia dan hanya Anwar yang dapat memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan," kata Liu.

Malam tadi, Anwar mengulas kenyataan terbaru Mahathir, menegaskan bahawa peralihan kuasa perlu dibincangkan secara baik dalam PH atau antara dirinya dengan Mahathir.

Lihat Komen
ADS