Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Tiada apa mencurigakan keputusan AGC tak dakwa Anwar

Tiada apa yang mencurigakan atau tersembunyi dengan keputusan Pejabat Peguam Negara untuk tidak mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung tuduhan salah laku seksual terhadap Muhammed Yusoff Rawther, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Hamid berkata, sukar untuk polis mendapatkan bukti fizikal dan sokongan (corroborative evidence) berkenaan kes itu kerana insiden itu didakwa telah lama berlaku.

"Ia (didakwa) telah lama berlaku, satu atau dua tahun lalu. Ia sukar, kita perlukan buktikan fizikal.

"Sama ada dia (Yusoff) bercakap benar atau tidak, itu soalan lain tetapi apa bukti sokongan yang kita ada. Itu masalahnya," katanya ketika sidang media di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata keputusan Pejabat Peguam Negara berdasarkan hasil sasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) polis.

"Tiada yang tersembunyi, mencurigakan tentangnya. Ia straightforward," katanya lagi.

Semalam, AGC memaklumkan keputusannya untuk tidak mendakwa Anwar berhubung dakwaan yang dibuat Muhammed Yusoff kerana kekurangan bukti.

Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkata terdapat percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen kanun itu.

Hamid berkata jika ada bukti baru, polis boleh membuka semula siasatan.

Ditanya berkenaan ujian poligraf yang dibuat Yusoff selama empat jam, sebagai sebahagian daripada siasatan polis, Hamid berkata keputusan ujian itu tidak boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah.

"Kami tidak akan serahkan keputusan ujian poligraf ke mahkamah, ia tidak dibenarkan undang-undang.

"Ujian poligraf membantu (dari segi) siasatan untuk meyakinkan polis sama ada dia bercakap benar atau tidak.

"Jika kita dapati dia tak bercakap benar, kami tak mahu bazirkan masa. Jika poligraf kata dia bercakap benar, kita akan cuba cari bukti lain," katanya lagi.

Katanya lagi, tidak perlu bazirkan masa untuk kes ini memandangkan AGC berkata jika kes ini dibawa ke mahkamah, ia akan kalah.

Pada 4 Disember lalu, Yusoff berkata telah membuat akuan bersumpah, bertarikh 19 November 2019, mendakwa Anwar melakukan salah laku seksual terhadapnya pada Oktober 2018.

Dia membuat laporan polis berkenaan perkara itu pada 7 Disember lalu.

Anwar menafikan dakwaan itu. Setiausaha sulitnya, Shukri Saad membuat laporan polis terhadap Yusoff, manakala peguamnya Ramkarpal Singh mengeluarkan surat tuntutan kepadanya.

Lihat Komen
ADS