Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MT Bersatu bincang kes Adun Dengkil esok, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa mesyuarat majlis tertinggi parti itu akan membincang secara rasmi kes Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang didakwa ditahan oleh polis dalam satu pesta membabitkan dadah baru-baru ini.

"Esok kita ada mesyuarat majlis tertinggi yang dipengerusikan oleh Tun (Dr Mahathir Mohamad).

“Secara rasminya kita akan dibincang di situ," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Tahun Baru 2020 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pagi tadi.

Beliau yang juga adalah menteri dalam negeri ditanya mengenai tindakan parti terhadap wakil rakyat itu yang juga merupakan ketua pemuda (Armada) Bersatu Selangor.

Adhif adalah antara individu yang didakwa ditahan polis bersama 16 yang lain dalam satu serbuan polis di sebuah kondominium di Jalan Puchong pada 12 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, memang Bersatu mempunyai garis panduan dari segi soal etika dan disiplin parti, tetapi parti itu perlu bersikap adil, kerana seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dijatuhkan hukuman.

"Saya dah buat kenyataan rasmi (sebelum ini). Kita serah pula pada polis apa-apa tindakan wajar berdasarkan undang-undang.

"Tapi, dari segi sudut imej parti, disiplin parti itu kita akan putuskan esok," katanya.

Pada sidang media itu, Muhyiddin juga mengesahkan bahawa pihak polis masih menunggu laporan patologi ujian air kencing berkenaan kes tersebut.

"Ia bukan PDRM buat, ia ada jabatan kimia akan laporkan.

"Ini satu perkara biasa.

“Bukan kes yang luar biasa. Jadi, serah pada mereka dan akan ambil tindakan berdasarkan hasil daripada ujian," katanya ketika ditanya bila laporan ujian itu akan diserahkan.

Untuk rekod, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd, berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang tempoh berhubung untuk keputusan patologi ujian air kencing.

Menurut beliau, dalam kes membabitkan dadah, polis akan membuat saringan awal dan spesimen itu juga dihantar ke hospital dan pihak berkenaan akan menentukan keputusan ujian yang dilalukan.

Polis juga mengesahkan daripada 17 yang ditangkap hanya seorang sahaja diuji negatif.

Lihat Komen
ADS