Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Parti perlu bertindak segera pada ahli buat kesalahan'

Parti politik perlu mengambil tindakan segera terhadap anggotanya yang jelas melakukan kesalahan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, parti politik tidak boleh memberi gambaran bahawa ia tidak tegas dalam berdepan soal jenayah dan rasuah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan penangkapan sejumlah anggota parti dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, kerana disyaki menyalahgunakan dadah.

Antara yang ditahan ialah adun Dengkil dari Bersatu, Adhif Syan Abdullah dan seorang anggota Angkata Muda Keadilan (AMK).

"Kalau sudah sah penangkapan dan ujian (air kencing), biasanya kita ambil tindakan segera dengan menggantung (keahlian).

"Tetapi selalunya kita serahkan kepada lembaga disiplin (untuk buat keputusan) dala masa singkat," katanya kepada pemberita selepas berucap dalam satu ceramah di Kampung Pimping di Kimanis.

Dalam serbuan awal pagi Ahad, 17 individu termasuk enam wanita ditahan dalam serbuan itu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, hasil ujian saringan air kencing didapati 16 daripada mereka positif dadah, manakala seorang lagi negatif.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mereka sebelum keputusan ujian saringan kali kedua.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau telah menggantung seorang pegawai kementeriannya susulan penangkapan itu.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad pula berkata tiada siapa yang melanggar undang-undang akan terlepas daripada tindakan, tetapi menunggu siasatan polis sebelum mengambil apa-apa tindakan.

Berhubung dakwaan plot untuk menjatuhkan maruah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, Anwar berkata ia tidak sepatutnya berlaku.

"Saya tidak tahu perinciannya tetapi ikuti (berita).

"Ia bukan sesuatu yang sepatutnya, ia tidak sepatutnya mencemarkan personaliti atau kehidupan peribadi seseorang," katanya.

Semalam Latheefa berkata satu komplot jenayah telah digerakkan terhadapnya susulan pendedahan rakaman audio perbualan telefon bekas perdana menteri Najib Razak dengan beberapa individu berkenaan skandal 1MDB.

Hari ini pegawai khas hal ehwal undang-undang Latheefa, Sasha Lyna Abdul Latif membaut laporan polis berkenaan perkara itu.

Lihat Komen
ADS