mk-logo
Berita
Isu peralihan kuasa boleh ganggu tugas k'jaan - Mat Sabu
Diterbitkan:  Jan 16, 2020 9:25 PM
Dikemaskini: 2:57 PM

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menggesa supaya isu peralihan tampuk kepimpinan negara daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak terus dimainkan.

Mohamad berkata isu ini boleh mengganggu tugas kerajaan.

"Isu peralihan kuasa juga tidak harus terus-menerus dibangkitkan kerana ia akan mengganggu tugas kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

"Biarlah Majlis Presiden PH yang menentukannya," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata laporan yang menyebut pelaburan asing ke Malaysia meningkat pada tahun lalu, "membuktikan bahawa reformasi yang dilakukan PH dalam pentadbiran kerajaan berjaya menggembalikan kepercayaan pelabur."

"Tahun 2020 ini, kerajaan akan bekerja dengan lebih keras lagi untuk memulihkan ekonomi negara agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. 

"Fokus ini tidak harus terganggu dengan isu-isu lain termasuk isu-isu perkauman dan agama yang sengaja dimainkan," katanya lagi.

Pada 14 Januari lalu, Dr Mahathir berkata beliau bersedia untuk melepaskan jawatannya serta-merta sekiranya Majlis Presiden PH mengkehendakinya.

"Saya fikir ini akan diputuskan oleh empat parti (PH) bersama. Sama ada mereka mahu saya pergi atau tidak pergi.

"Jika mereka mahu saya berundur sekarang, saya akan berundur," katanya.

Mahathir berkata demikian sebagai respons terhadap beberapa ahli parlimen PKR yang mencadangkan agar beliau menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim pada Mei tahun ini.

Pada 15 Januari, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula berpendapat tiada keperluan untuk Majlis Presiden PH bermesyuarat bagi menetapkan penyerahan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Dr Mahathir sudah menyatakan akan berundur daripada jawatan perdana menteri selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur pada Nov nanti.

"Tentang apa yang disebut oleh Tun Mahathir, maksud Tun - saya percaya - sekiranya majlis presiden PH tidak berpuas hati prestasi beliau hendak beliau letak jawatan atau minta beliau berundur, ia boleh diputuskan di Majlis Presiden PH

"Beliau pun pernah menyebut tentang perkara tersebut dalam majlis presiden, tetapi sehingga sekarang saya tidak lihat ada apa-apa sebab untuk perlukan satu (mesyuarat) majlis presiden khusus untuk bincang perkara ini kerana PM pun telah sebut bahawa beliau akan tinggalkan jawatan selepas bulan Nov.

"Ini akhir tahun tinggal tidak beberapa lama, biar kita ikut jadual yang beliau telah syorkan saya rasa haruskan ia harus jalan dengan teratur, tersusun dan tanpa sebarang kekecohan," katanya kepada pemberita tengah hari ini di Punchong, Selangor.

Lim yang juga menteri kewangan berkata ini akan memastikan peralihan kuasa berjalan lancar yang akan memelihara kestabilan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

'Tak salah jika jadi agenda mesyuarat'

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin berkata sebarang isu, termasuk peralihan kuasa, perlu diurus dengan baik dan tidak dibiarkan sehingga mengalihkan fokus daripada tugas sebenar.

Shazni Munir

Katanya, Amanah sejak awal mahu PH terus kukuh dan gagah dan akan terus konsisten memainkan peranan sebagai penyatu.

Tetapi pada masa sama, katanya lagi, pandangan pemimpin dan penyokong PH agar tarikh peralihan kuasa ditetapkan perlu dihormati.

"Tiada salahnya jika ia dimasukkan sebagai salah satu agenda mesyuarat (Majlis Presiden).

"Suka atau tidak, ketidaktentuan politik ketika ini memberi lebih banyak kesan negatif berbanding positif. Semua orang perlu meilihat proses musyawarah itu penting bagi mewujudkan kestabilan politik," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS