Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Najib Razak sudah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan rakaman audio didakwa sebagai suaranya dalam perbualan dengan beberapa individu berkaitan skandal 1MDB.

Ketika dihubungi, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan, mengesahkan pihaknya menerima salinan notis permohonan kepada mahkamah serta afidavit sokongan daripada pihak Najib tengah hari tadi.

Dokumen itu bertarikh 15 Jan dan difailkan oleh firma guaman Messrs Shafee & Co di Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut notis yang dikemukakan mengikut Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah, Najib memohon agar pihak pendakwaan dan/atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarah menyerahkan salinan sebenar rakaman lengkap audio yang didedahkan agensi terbabit kepada media pada 8 Jan.

Isu itu menjadi perhatian apabila pada 8 Jan, SPRM mengadakan sidang media untuk memperdengarkan rakaman audio didakwa Najib dengan beberapa orang berprofil tinggi, termasuk isteri beliau, Rosmah Mansor, serta bekas ketua pesuruhjaya agensi antirasuah berkenaan, Dzulkifli Ahmad.

Turut disiarkan rakaman suara didakwa Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim, yang dilantik kerajaan BN menjadi pengerusi Lembaga Tabung Haji.

Sehari kemudian, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, memberitahu mahkamah yang mendengar perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram bekas perdana menteri itu, pihaknya akan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan rakaman audio berkenaan.

Berdasarkan afidavit yang dikemukakan, Najib berkata, beliau dinasihatkan oleh peguamnya bahawa rakaman audio itu relevan dan diperlukan untuk pembelaan dalam perbicaraannya.

Selain didakwa atas tuduhan berkaitan wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, Najib juga dikenakan tuduhan berkaitan dana RM2.28 bilion milik 1MDB, selain didakwa meminda laporan akhir audit berkaitan syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS