Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada bukti saintifik tapi tak salah amal petua'

Tiada bukti saintifik untuk menyokong dakwaan bahawa penggunaan bawang merah mampu merawat influenza, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata sebaliknya orang ramai digalakkan mengamalkan penjagaan kebersihan diri serta mengambil pemakanan seimbang bagi mengelak penularan jangkitan berkenaan.

"Bagaimanapun, tidak salah untuk mengamalkan petua seperti meletakkan hirisan bawang merah atau menggunakan semburan pembunuh kuman asalkan ia tidak berlebih-lebihan dan mencetuskan panik.

"Kita tiada bukti saintifik yang menunjukkan petua (penggunaan bawang merah) banyak membantu walaupun kita tak halang ia diamalkan sebab ia tidak akan jejaskan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pembangunan pusat komersial Botani Village yang dilancarkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Gopeng, hari ini.

Dr Lee diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir netizen dalam laman sosial yang mendakwa hirisan bawang merah yang diletakkan di persekitaran kawasan kediaman mampu menyerap virus influenza dari terkena jangkitan kepada manusia.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata, penggunaan teknologi generasi kelima (5G), yang akan dilaksanakan di negara ini tidak akan menjejaskan kesihatan manusia seperti yang didakwa oleh segelintir pihak bahawa teknologi itu boleh membahayakan kesihatan seperti menyebabkan kanser.

Beliau berkata, 5G yang mengeluarkan radiasi elektromagnetik adalah jauh lebih rendah daripada radiasi yang dikeluarkan oleh telefon pintar atau pancaran sinaran matahari.

"Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan akan terus melakukan pemantauan dengan bekerjasama WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) di stesen pemancar yang besar dengan garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Isu 5G menjadi perdebatan ramai apabila terdapat dakwaan menyatakan ia boleh membahayakan kesihatan seperti menyebabkan kanser, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai penggunaan teknologi itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS