Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

LANGSUNG

9.40 malam - Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan dua isyarat penting dihantar rakyat kepada kerajaan PH dan Warisan dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis kali ini.

Pertama katanya, penolakan jelas rakyat Sabah terhadap Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan kerajaan kerajaan.

Sementara mesej kedua, kata Najib, adalah keputusan rakyat menolak Warisan dalam bagi menuntut kerajaan melaksanakan kembali segala projek terbengkalai yang telah dilaksanakan kerajaan BN.

"Keputusan ini mencerminkan kehendak rakyat, bukan saja dalam konteks Kimanis, tetapi juga dalam konteks Sabah secara keseluruhannya," katanya ketika ditemui di Kimanis, malam tadi.

Jelas Najib, sebagai menghormati keputusan rakyat dalam PRK Kimanis, kerajaan sepatutnya mengumumkan pembatalan pelaksanaan PSS.


Rasmi: SPR umum calon BN menang PRK Kimanis

9.30 malam - SPR secara rasmi mengumumkan calon BN Mohamad Alamin sebagai pemenang pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

Pengumuman itu dibuat oleh pegawai pengurus Jupari @ Jupry Etok.

Mohamad menewaskan lawannya Karim Bujang dari Warisan dengan 2,029 undi majoriti.

Beliau memperoleh 12,706 undi, sementara Karim meraih 10,677 undi. Sebanyak 320 undi ditolak. Jumlah peratus keluar mengundi adalah 79.92 peratus.

Pada pilihan raya umum lepas, BN yang diwakili Anifah Aman, menang hanya dengan majoriti 156 undi.

Anifah ketika itu memperoleh 11,942 undi, sementara Karim yang turut bertanding ketika itu meraih 11,786 undi. Calon ketiga Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah mendapat 1,300 undi.


8.50 malam - Suruhanjaya Pilihan Raya berkata jumlah keluar mengundi ialah 79.92 peratus.

Jumlah itu adalah yang tertinggi dalam 10 PRK yang diadakan selepas PRU 2018.

Peratus keluar mengundi sebelum ini adalah seperti berikut:

Sungai Kandis 45%
Seri Setia 45%
Balakong 43%
Port Dickson 58.3%
Cameron Highlands 68.79%
Semenyih 73.30%
Rantau 79.31%
Sandakan 54.40%
Tanjung Piai 74.43%


8.35 malam - Pemimpin BN dan calon BN bagi PRK Kimanis Mohamad Alamin tiba di pusat pengiraan undi dengan wajah ceria.

Antara pemimpin BN yang kelihatan ialah Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, bekas perdana menteri Najib Razak, bekas ahli parlimen Kimanis Anifah Aman, Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin, Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan.

Mereka dilihat duduk dan menunggu dengan sabar untuk keputusan rasmi diumumkan.


Pemimpin BN Sabah titiskan air mata

8.24 petang - Pemimpin BN Sabah, Bung Moktar Radin dan Abdul Rahman Dahlan menitiskan air mata gembira menyambut kemenangan BN di Kimanis.

"Iya saya dan Bung menangis," kata Rahman melalui Twitter.

Jelasnya, selama 19 bulan Umno Sabah dilanda musibah demi musibah.

"Umno Sabah hampir hancur. Setiap hari kami nazak. Kami kehilangan 16 Adun, 6 MP (ahli parlimen), dua senator dan 22 ketua bahagian dengan kepimpinan lain.

"Tidak ada yang berani memberikan kami peluang. Tidak ada yang percayakan kami.

"Sebab itu kejayaan malam ini begitu manis sekali. Kami akan bina Umno Sabah dari bawah dengan kepimpinan yang lebih faham erti sebuah perjuangan," katanya.


8.20 malam - Najib sindir Kit Siang

Bekas perdana menteri Najib Razak tidak dapat menahan diri daripada menyindir ahli parlimen DAP Lim Kit Siang.

"Kimanis apa cerita?" soalnya, dalam muat naik di Facebook yang disertakan paparan laporan Malaysiakini berhubung PRK Sandakan.

Laporan itu memetik Kit Siang yang menyifatkan kemenangan PH di Sandakan sebagai kekalahan buat 'bossku'.

 

Presiden MCA Wee Ka Siong pula meningatkan PH bahawa BN sudah menang lima daripada 10 PRK yang diadakan selepas PRU ke-14.

Katanya, kemenangan itu membuktikan bahawa rakyat benar-benar muak dan tidak yakin lagi dengan pemerintahan Pakatan Harapan dan Warisan di peringkat Negeri.

"Biarpun PH dan parti Warisan menabur macam-macam peruntukan, walaupun PH memiliki kekuatan jentera kerajaan termasuk media utama, tetapi rakyat sudah bijak memilih wakil rakyat mereka.

"Mesej rakyat di Kimanis ini sama seperti di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands dan Tanjung Piai iaitu, rakyat benar-benar terluka dengan kerajaan PH yang bukan saja gagal menunaikan janji manifesto bahkan juga gagal menjaga hak dan kepentingan rakyat," katanya.


BN menang di Kimanis

Berdasarkan pengiraan Malaysiakini, calon BN Mohamad Alamin menang PRK Kimanis.

Beliau mengalahkan lawannya Karim Bujang dari Warisan.

Berdasarkan pengiraan tak rasmi, Mohamad Alamin sudah berjaya meraih 11,992 undi, sementara Karim mendapat 10,200 undi.

Jumlah ndi yang diraih Mohd Alamin itu sudah melebihi separuh keseluruhan undi, yang memastikan kemenangna untuknya.


7.10 malam - BN makin hampir catat kemenangan

Mohamad Alamin dari Barisan Nasional semakin hampir mencatat kemenangan dalam PRK Kimanis.

Berdasarkan pengiraan tidak rasmi, beliau mendahului lawannya Karim Bujang dari Warisan dan kini semakin hampir untuk meraih lebih separuh undi yang dianggarkan hari ini.

Bilik Gerakan Umno mula riuh dengan sorakan yang dipimpin oleh pemimpin BN termasuk Ahmad Zahidi Hamidi, Mohamad Hasan, Annuar Musa dan Bung Moktar Radin.

Sebanyak 29,664 pengundi yang layak di Kimanis dan dianggarkan 80 peratus daripada jumlah itu keluar mengundi.


6.50 petang - Seorang penganalisis dalam respons segera berkata jika BN memenangi PRK Kimanis, ia hanya menunjukkan pengundi Kimanis juga dipengaruhi isu nasional.

"Ini menunjukkan ketidakpuasan terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan, telah merebak ke Sabah," kata penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi.

Beliau menambah bahawa rakyat juga tidak berpuas hati dengan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) Sabah yang akan dilancarkan pada Jun.

Sebelum ini, pelbagai tinjauan mendapati isu dan pembangunan tempatan akan menjadi faktor utama dalam PRK Kimanis.


BN semakin jarakkan diri, mendahului lebih 1,000 undi

6.44 petang - Berdasarkan kiraan tidak rasmi, BN kini mendahului lebih 1,000 undi.

Ketika laporan ini ditulis, BN meraih 8,212 undi sementara Warisan 6,820 undi. Ini meletakkan BN di hadapan dengan 1,392 undi.


Sokongan pengundi bukan Islam terhadap Warisan menurun di Simpangan

6.43 petang - ANALISIS: Berdasarkan pengiraan tak rasmi, Warisan sekadar menang tipis di pusat daerah mengundi (PDM) Simpangan.

Warisan meraih 49.81 peratus undi, berbanding BN 49.23 peratus undi. Terdapat juga 0.96 peratus undi yang ditolak.

Walaupun menang, ia bukan petanda yang baik untuk Warisan yang sebelum ini menang dengan selesa di PDM itu pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Pada PRU 2018, Warisan memperoleh 61.32 peratus undi berbanding BN 32.17 peratus BN di Simpangan.

Simpangan kebanyakannya terdiri daripada bumiputera bukan Islam sekitar 73.52 peratus. Kumpulan kedua terbesar adalah pengundi Cina.

Meskipun pengundi Cina hanya terdiri daripada 3.66 peratus di Kimanis, mereka paling ramai bertumpu di PDM Simpangan, iaitu 15.28 peratus daripada kesemua pengundi Cina.

Bumiputera Islam membentuk sembilan peratus di Simpangan manakala etnik lain pula ialah 2.19 peratus.


BN mendahului lebih 500 undi

6.21 petang - Berdasarkan kiraan tidak rasmi, BN semakin menjarakkan diri dari Warisan. Setakat laporan ini ditulis, BN mendapat 2,874 undi sementara Warisan 2,270 undi. Ini meletakkan BN di hadapan dengan 504 undi.


BN sedikit di depan pada peringkat awal pengiraan

6.06 petang - Berdasarkan kiraan tidak rasmi, BN berada di hadapan sedikit berbanding Warisan.

Ketika laporan ini ditulis, BN meraih 1,491 undi, berbanding Warisan 1,234 undi. Perbezaan 257 undi.

Terdapat sejumlah 29,664 pengundi yang layak. Dianggarkan bahawa lebih daripada 80 peratus daripada jumlah itu keluar mengundi pada PRK kali ini.


6.05 petang - SPR mula umumkan keputusan tidak rasmi.


Jalan sekitar pusat pengiraan undi ditutup

5.30 petang - Polis menutup jalan-jalan sekitar pusat pengiraan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort.

Puluhan polis antirusuhan ditempatkan di sebilangan pusat pengundi sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menunggu ketibaan kotak undi.


5.17 petang - Kotak undi pertama daripada kesemua 69 kotak undi tiba di pusat pengundian.


Pengundian ditutup, kiraan undi bermula

5 petang - Pengundian untuk pilihan raya kecil (PRK) Kimanis telah ditutup dan proses kiraan undi bermula.

PRK ini adalah antara calon BN Mohamad Alamin dan calon Warisan Karim Bujang.

BN disokong oleh PAS dan parti pembangkang tempatan manakala Warisan disokong oleh Pakatan Harapan.Kempen PRK ini bermula pada 4 Jan lalu dan berlangsung selama dua minggu.

PRK ini diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah Aman di Kimanis pada pilihan raya umum 2018 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mematuhi prosedur pilihan raya yang sepatutnya.

Dalam pilihan raya umum lepas, Anifah yang mewakili BN menang tipis dengan 156 undi majoriti.

Anifah meraih 11,942 undi, sementara Karim yang turut bertanding ketika itu, meraih 11,786 undi. Calon ketiga pada saingan itu, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah mendapat 1,300 undi.

Anifah tidak bertanding pada PRK ini tetapi menyokong BN walaupun keluar telah meninggalkan Umno.

Seramai 29,664 pengundi yang layak dalam pilihan raya kecil ini.


Beberapa fakta mengenai pilihan raya kecil Kimanis:

Ini adalah pilihan raya kecil ke-10 sejak pilihan raya umum 2018, dan yang kedua untuk Sabah. Pilihan raya kecil pertama di Sabah ialah PRK Sandakan yang dimenangi DAP pada 11 Mei tahun lepas.

Sehingga kini, Pakatan Harapan telah memenangi lima PRK (Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Port Dickson, Sandakan) manakala BN memenangi empat PRK (Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai). Warisan yang merupakan sekutu Pakatan Harapan, mewakili gabungan pemerintah dalam PRK Kimanis.

PRK Kimanis akan menjadi pengukur paling jelas dari masyarakat Bumiputera Sabah. PRK di Sandakan sebelum ini adalah kawasan majoriti Cina.

Populasi majoriti di Parlimen Kimanis terdiri daripada bumiputera Islam sekitar 61.93 peratus. Mereka kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Brunei, Bisaya dan Bajau.

Kumpulan kedua terbesar adalah bumiputera bukan Islam sekitar 31.92 peratus, yang kebanyakannya adalah Kadazan-Dusun dan Murut. Cina terdiri hanya 3.66 peratus manakala lain-lain etnik adalah 2.49 peratus.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS